Sabtu, 9 March 2019 | 7:14pm
A Samad Said pada Program Sehari Bersama Pak Samad di UniSZA kampus Gong Badak, Kuala Nerus. - NSTP/Imran Makhzan
A Samad Said pada Program Sehari Bersama Pak Samad di UniSZA kampus Gong Badak, Kuala Nerus. - NSTP/Imran Makhzan

Galeri Pak Samad tarikan baharu di UniSZA

KUALA NERUS: Lebih 100 karya dan dokumentasi Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, kini ditempatkan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata projek Galeri Pak Samad itu adalah hasil kolaborasi UniSZA dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Galeri Pak Samad ini adalah sebahagian pengisian Program Sasterawan D UniSZA yang diharap bakal merintis lebih banyak perkongsian ilmu kesarjanaan beliau bersama mahasiswa dan masyarakat sekitar universiti ini.

“Program ini akan memberi banyak manfaat terhadap sistem pengajian di UniSZA memandangkan Pak Samad adalah seorang yang berfikiran kritis bukan sahaja dalam bidang kesusasteraan malah melangkaui pemikiran dalam bidang sosial, politik, ekonomi, pentadbiran dan pengurusan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sehari Bersama Pak Samad yang dihadiri 1,500 mahasiswa, pelajar sekolah dan masyarakat sekitar.

Pelantikan A Samad sebagai Sasterawan D UniSZA itu adalah sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu universiti awam ‘menempatkan’ Sasterawan Negara di institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan itu kepada negara.

Melalui program itu, setiap sasterawan dicadangkan menyumbang kira-kira 10 hingga 30 jam setahun bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang telah diaturkan di peringkat universiti dan kementerian seperti Bedah Buku dan Sembang Ilmiah.

Sementara itu, A Samad ketika ditemui pemberita melahirkan kegembiraan dapat berkongsi pengalaman dan ilmu berkaitan kesusasteraan bersama pelajar UniSZA yang diharap dapat memotivasikan mereka untuk aktif dalam bidang penulisan.

“Masih banyak perkara belum diteroka dan ia perlu didokumentasikan dalam bentuk penulisan untuk menjadi rujukan serta warisan negara. Apa yang penting ialah inti kepada setiap penulisan itu perlulah mempunyai nilai berharga terhadap masyarakat dan negara,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X