Sabtu, 9 March 2019 | 5:38pm
Orang ramai melihat pameran rumah daripada pelbagai syarikat pemaju di tapak pameran My'Rumah yang diadakan di My Town Shoping Centre. - Foto ZUlfadhli Zulkifli
Orang ramai melihat pameran rumah daripada pelbagai syarikat pemaju di tapak pameran My'Rumah yang diadakan di My Town Shoping Centre. - Foto ZUlfadhli Zulkifli

Pameran MyRumah buka ruang pembeli tingkat pengetahuan

KUALA LUMPUR: Golongan pembeli rumah kali pertama dan pembeli yang ingin menaik taraf serta meningkatkan pelaburan hartanah berpeluang menimba ilmu menerusi siri ceramah percuma sempena Pameran Hartanah MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Pengurus Projek MyRumah, Mohd Haslan Abd Abbas, berkata enam sesi ceramah oleh pakar hartanah tersohor sejak Khamis lalu, mendapat sambutan memberangsangkan.

Katanya, pengunjung didedahkan dengan teknik dan tips yang perlu dititikberatkan sebelum membeli rumah.

“Orang ramai khususnya bakal pembeli semestinya ingin mengetahui perkembangan semasa berhubung aliran jual beli rumah terkini dan pameran ini adalah platform terbaik untuk mendapatkan maklumat diperlukan.

“Selain siri ceramah, pameran turut diisi dengan aktiviti demonstrasi memasak oleh personaliti popular, Maria Tunku Sabri, selain cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Orang ramai melihat pameran rumah daripada pelbagai syarikat pemaju di tapak pameran My'Rumah yang diadakan di My Town Shoping Centre. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Orang ramai melihat pameran rumah daripada pelbagai syarikat pemaju di tapak pameran My'Rumah yang diadakan di My Town Shoping Centre. - Foto Zulfadhli Zulkifli

“Kita jangkakan bilangan pengunjung bertambah kerana esok (hari ini) adalah hari terakhir pameran,” katanya di sini, hari ini.

Enam pakar hartanah jemputan dalam siri ceramah selama tiga hari adalah Azim Sulaiman, Dr Badrul Hisham Mohd Yusoff, Ahyat Ishak, Hasnain Hasanan, Vince Chia dan Dr Eric.

Sementara itu, Ahyat ketika ditemui berkata, MyRumah memberi peluang beliau berkongsi pandangan berhubung lima trend yang bakal mengubah pasaran hartanah tempatan.

“Bagi individu yang baru berjinak dalam pasaran hartanah ini, kita perlu ikut perkembangan semasa supaya masing-masing tidak membuat keputusan salah sebelum membeli rumah.

“Ada banyak krisis sekarang seperti lambakan rumah belum terjual, populariti rumah kos rendah semakin berkembang dan harga rumah mewah mampu milik yang membuka peluang kepada pembeli.

“Justeru, perkongsian ilmu dapat mengurangkan kebimbangan pembeli dan mengelak kita daripada ‘lemas’ dalam trend terkini,” katanya.

Siri pertama Pameran Hartanah MyRumah 2019 menawarkan kira-kira 2,000 unit hartanah kediaman pelbagai jenis dengan harga serendah RM300,000 hingga RM1.4 juta daripada lima pemaju hartanah utama negara.

Acara itu menyasarkan golongan pembeli rumah kali pertama dan pembeli yang ingin menaik taraf serta melabur dalam hartanah di sekitar wilayah tengah terutama Lembah Klang.

Pameran yang bermula kelmarin hingga esok dibuka pada jam 10 pagi hingga 10 malam.

Berita Harian X