X
Rabu, 27 Februari 2019 | 5:43pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sektor pelancongan sumbang RM84.1 bilion

PUTRAJAYA: Sektor pelancongan menyumbang RM84.1 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi ketibaan kira-kira 25.8 juta pelancong antarabangsa ke negara ini tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata walaupun jumlah kedatangan pelancong asing ke negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.4 peratus, berbanding 25.9 juta pada 2017, jumlah perbelanjaan pelancong menunjukkan peningkatan.

“Perbelanjaan pelancong meningkat 2.4 peratus kepada RM84.1 bilion pada tahun lalu, berbanding 2017 iaitu RM82.2 bilion.

“Penyumbang terbesar perbelanjaan pelancong ialah pasaran jarak dekat ASEAN, iaitu sebanyak RM48.5 bilion, namun terdapat pengurangan sebanyak 12.8 peratus, berbanding 2017 sebanyak RM55.6 bilion.

“Selain itu, sumbangan dari pasaran bukan ASEAN secara kumulatif sebanyak RM35.6 bilion seperti dari Asia Timur (RM18.4 bilion); Eropah (RM5.6 bilion); Asia Selatan (RM3.8 bilion); Asia Barat (RM3.1 bilion); Amerika (RM1.8 bilion); Australia (RM1.6 bilion); New Zealand (RM224.7 juta); Asia Tengah (RM135.7 juta) dan Afrika Selatan (RM93.7 juta),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, perbelanjaan pelancong tertumpu kepada segmen beli belah (33.4 peratus), diikuti oleh penginapan (25.7 peratus) dan makanan serta minuman (13.4 peratus).

“Perbelanjaan untuk beli belah mencatatkan kenaikan daripada 32.7 peratus pada 2017 kepada 33.4 peratus pada tahun lalu dengan barangan kraftangan Malaysia ialah item yang popular dibeli oleh pelancong, selain makanan,” katanya.

Beliau berkata, purata tempoh tinggal pelancong asing di Malaysia bagi tahun lalu meningkat sebanyak 0.8 malam, iaitu 6.5 malam berbanding 5.7 malam pada 2017.

“Peningkatan tempoh tinggal terutama dari pasaran jarak jauh iaitu Asia Barat (9.7 malam); Eropah (8.6 malam), Asia Tengah (8.3 malam) serta dari pasaran jarak sederhana seperti Asia Selatan (6.2 malam) dan Asia Timur (6.1 malam), manakala penurunan tempoh tinggal ialah bagi pasaran ASEAN (4.3 malam dari 5.8 malam) dan Amerika (7.8 malam dari 8.0 malam),” katanya.

Dalam pada itu, katanya promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 berada pada tahap yang membanggakan dengan setakat ini sudah dipromosikan di beberapa negara termasuk, Sepanyol dan United Kingdom.

“Kita juga akan menyertai acara terbesar promosi pelancongan dunia di Jerman kerana Malaysia dilantik sebagai rakan rasmi negara bagi penganjuran International Tourismus-Boerse (ITB) 2019 Berlin,” katanya.

INFO

10 pasaran tertinggi pelancong ke Malaysia 2018

1. Singapura (10.6 juta)

2. Indonesia (3.2 juta)

3. China (2.9 juta)

4. Thailand (1.9 juta)

5. Brunei (1.3 juta)

6. Korea Selatan (616,783)

7. India (600,311)

8. Filipina (396,062)

9. Jepun (394,540)

10. Taiwan (383,922)

Berita Harian X