Selasa, 26 Februari 2019 | 4:59pm
KETUA Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Tuan Zamani Ismail. - Foto Zuliaty Zulkiffli
KETUA Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Tuan Zamani Ismail. - Foto Zuliaty Zulkiffli

'Angin, cuaca faktor api cepat merebak'

ALOR SETAR: Angin kencang, cuaca panas dan bahan mudah terbakar menjadi antara faktor feri penumpang Dragon Star 1 terbakar di perairan berdekatan Langkawi semalam.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Tuan Zamani Ismail, berkata tiga faktor itu menyebabkan api bermula dari enjin merebak dengan cepat ke bahagian belakang feri.

Katanya, tindakan pantas anggota bomba tiba ke lokasi feri terbakar menyelamatkan mangsa dengan menggerakkan mereka keluar dari feri.

“Secara kebetulan, ada anggota bomba mengadakan Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) di Terminal Feri Langkawi ketika kejadian.

“Ia menyebabkan pasukan bomba tiba awal ke lokasi kebakaran selain bantuan bot persendirian dan bot nelayan berhampiran.

“Kerja memadam kebakaran dapat dilakukan pantas menggunakan teknik pancutan air dan buih daripada dua bot jenis Kevlar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.45 petang semalam, feri Dragon Star 1 yang membawa 52 penumpang dan enam kru berdepan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik bertolak dari Terminal Feri Langkawi menuju ke Kuala Perlis.

Tuan Zamani berkata, siasatan mendapati feri berusia 28 tahun terbabit mengalami kebakaran lebih 80 peratus.

“Kita sudah berbincang bersama beberapa pengusaha feri mengenai langkah keselamatan dan meminta mereka bersedia jika mengalami kecemasan seperti ini.

“Beberapa pegawai Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan feri itu untuk mengetahui punca sebenar kebakaran,” katanya.

Berita Harian X