Jumaat, 15 Februari 2019 | 3:42pm
TEW LO bersama isterinya, Ei Hsuan melihat keadaan Zheng Xuan, 19 hari yang memerlukan dana perubatan selepas menjalani rawatan di Hostipal Gleneagles Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
TEW LO bersama isterinya, Ei Hsuan melihat keadaan Zheng Xuan, 19 hari yang memerlukan dana perubatan selepas menjalani rawatan di Hostipal Gleneagles Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Rayu bantuan pembedahan jantung RM60,000

KUALA LUMPUR: Bayi lelaki menghidap masalah jantung sejak lahir, Tan Zhen Xuan, berusia sebulan, dan Terrence Hazekiel Japlee, 25 hari, merayu sumbangan orang ramai bagi membiaya kos pembedahan.

Kes membabitkan jantung berlaku satu dalam setiap 100 kelahiran dan adalah sangat kritikal, lebih-lebih lagi kos pembedahan untuk dua bayi ini, masing-masing dianggarkan RM60,000 dan perlu dibedah segera berikutan boleh mengakibatkan kematian tanpa rawatan.

Ibu Zhen Xuan, Chua Ei Hsuan, 36, berkata penantian selama 12 tahun untuk memperoleh cahaya mata bertukar sayu apabila mengetahui bayi dilahirkan menghidap masalah jantung.

Katanya, menurut doktor, Zheng Xuan perlu melalui pembedahan memperbetulkan saluran darah yang mengalir secara tidak normal kerana tanpa rawatan segera, boleh meragut nyawa.

“Selepas dilahirkan di Hospital Teluk Intan 16 Januari lalu, anak saya terus dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU), sebelum dipindahkan ke Hospital Gleneagles, di sini untuk menjalani pembedahan kelak,” katanya ketika ditemui bersama suami, Tan Yew Lo, 48, di Hospital Gleneagles di sini hari ini.

Zhen Xuan dilahirkan dengan berat 2.5 kilogram (kg), boleh membuka mata tetapi belum berupaya menyusu badan secara normal kerana perlu bantuan oksigen untuk bernafas.

“Saya rasa sangat rindu untuk memangku dan menyusukan bayi saya ini kerana selama ini dia hanya menyusu menerusi tiub.

“Saya berharap orang ramai sudi menghulurkan bantuan kerana saya tidak bekerja, malah pendapatan suami sebagai pembantu kedai kopi hanya RM600 sebulan ternyata tidak mencukupi,” katanya.

Pasangan ini berharap pembedahan itu akan berjaya, seterusnya membolehkan mereka bertiga pulang ke rumah mereka di Sabak Bernam, Selangor secepat mungkin.

Sementara itu ibu Terrence, Joy Supang Barok, 37 berkata bayinya yang dilahirkan menerusi kaedah pembedahan dikesan menghidap masalah saluran utama ke jantung yang terbalik.

Katanya, keadaan itu menyebabkan anaknya selalu menjadi biru kerana kekurangan oksigen.

“Hancur hati saya bila doktor berkata tanpa pembedahan, anak saya hanya boleh hidup selama tiga bulan.

Demi menyelamatkan nyawa, saya dan suami, Japlee Pangiran, 46 memutuskan untuk datang ke sini,” katanya.

Ibu kepada lima orang anak yang menetap di Lawas, Sarawak itu juga tidak pernah terfikir untuk jejak kaki ke Semenanjung kerana jarak jauh, tambahan pula terpaksa meninggalkan anak yang lain sementara menunggu pembedahan dijalankan kelak.

“Sekiranya pembedahan berjaya dilakukan, kami perlu tunggu sehingga 10 hari lagi untuk memastikan anak stabil sebelum dibenarkan pulang.

“Saya merayu orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi menjayakan pembedahan ini, “katanya.

Terrence dilahirkan dengan berat 4.2 kg pada 22 Januari lalu, menerusi kaedah pembedahan di Hospital Limbang Sarawak.

Masalah jantung yang dialaminya kemudian dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak selama dua minggu sebelum diterbangkan ke Hospital Gleneagles untuk rawatan susulan pada 11 Februari lalu.

Kes bayi Zhen Xuan dan Terrence dirujuk ke Hospital Gleneagles dan diletakkan di bawah Program Amal `A-Heart For A-Heart' Hospital Gleneagles.

Program dibangunkan sejak 1996 itu sudah membantu lebih 1,300 kanak-kanak menghidap masalah jantung menerusi jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Unit Kebajikan Media Prima-NSTP, dalam usaha membantu insan memerlukan.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund) menerusi akaun Maybank di 5141-0532-3170.

Berita Harian X