Khamis, 14 Februari 2019 | 7:50pm
DUTA Besar Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn. - Foto BERNAMA
DUTA Besar Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn. - Foto BERNAMA

Thailand hargai peranan Malaysia dalam proses rundingan damai di Wilayah Selatan

KUALA LUMPUR: Thailand menghargai peranan dan sumbangan Malaysia sebagai pemudah cara bagi proses perdamaian di beberapa wilayah sempadan selatan negara itu, kata Duta Besarnya ke Malaysia, Narong Sasitorn.

“Situasi di wilayah selatan adalah rumit dan prosesnya memerlukan masa. Kami menghargai sumbangan kerajaan Malaysia mempermudahkan dialog antara wakil kerajaan Thailand dan kumpulan yang mempunyai pendapat berbeza di selatan.

“Untuk keamanan, tidak boleh tergesa-gesa. Ia harus bermula dengan membina kepercayaan dan keyakinan. Permulaan yang baik mungkin bermula dengan dialog tidak rasmi dan rakyat selesa, percaya serta yakin untuk ke penyelesaian (masalah) lain,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui pada program demonstrasi memasak masakan Thai berjudul “Spiced it right!” di sini.

Narong berkata pendekatan keamanan adalah sebahagian dasar Thailand dan proses rundingan memastikan kerajaan dapat mendengar keluhan dan mencari penyelesaian terbaik.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada Ogos lalu dilantik sebagai pemudah cara rundingan damai di selatan Thailand, antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (Mara Patani).

Mara Patani mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand.

Pada 3 Februari, dilaporkan panel dialog Mara Patani memutuskan untuk menggantung rundingan damai itu sehingga selesai pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac

Ketua panel dialog, Shukri Hari, berkata keputusan itu diambil berikutan kekecewaan kumpulan itu terhadap sikap ditunjukkan ketua panel rundingan damai Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat.

Menurut beliau, Mara Patani dan pasukan dialog Thailand tiba di Kuala Lumpur pada 2 Februari lalu untuk mesyuarat pengenalan, bagaimanapun beliau dimaklumkan Jeneral Udomchai tidak akan menghadiri mesyuarat itu dan hanya akan menemuinya secara peribadi dan berasingan.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan Thailand menggantikan Jeneral Udomchai bagi mencari penyelesaian terhadap konflik di Pattani yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Mesyuarat pengenalan jika berlangsung seperti dijadualkan, akan menandakan mesyuarat rasmi pertama selepas beberapa bulan. Kumpulan ini adalah badan yang mewakili beberapa kumpulan selatan Thailand.

Sejak meletus pada 2004, konflik itu mencengkam empat wilayah di selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, mengorbankan lebih 6,500 nyawa.

Mengulas mengenai pilihan raya akan datang di Thailand, Narong berkata proses demokrasi sangat penting sejajar dengan pelan hala tuju negara ke arah demokrasi serta memastikan keyakinan di kalangan rakyat di negara ini.

“Malah, ia bukanlah pilihan raya pertama buat kami (di Thailand). Kami telah melaluinya sebelum ini dan sentiasa mengamalkan demokrasi sejak 1932. Pastinya terdapat gangguan tetapi melihatkan kepada perkembangan politik anda akan melihat bahawa kita sentiasa bangkit kembali dengan komitmen lebih kuat terhadap nilai demokrasi. Kali ini kami akan membuktikannya,” katanya.

Menurutnya antara penambahbaikan utama yang dibuat ialah perlembagaan baharu untuk memastikan sekat dan imbangan lebih baik, mengawal rasuah dan konflik kepentingan, serta memastikan kesinambungan Strategi Nasional 20 tahun, rancangan menjadikan Thailand negara maju menjelang 2037.

Selain pilihan raya umum, sebagai Pengerusi ASEAN, Thailand akan menganjurkan 180 mesyuarat selain istiadat pemasyhuran Raja Maha Vajiralongkorn selama tiga hari bermula 4 Mei. – BERNAMA

Berita Harian X