Isnin, 4 Februari 2019 | 4:46pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (dua dari kanan) hadir pada majlis pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti Kraf Malaysia Peringkat Terengganu di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu di Chendering, hari ini. - Foto Ghazali Kori
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (dua dari kanan) hadir pada majlis pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti Kraf Malaysia Peringkat Terengganu di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu di Chendering, hari ini. - Foto Ghazali Kori

RM150,000 insentif penghasilan rekaan kraf baharu

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Kraftangan Malaysia memperuntukkan sebanyak RM150,000 menerusi Insentif Pembangunan Produk Baru bagi penghasilan rekaan baharu untuk produk kraf songket, kayu dan tembaga oleh pengusaha tempatan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata kementeriannya juga menyediakan Insentif Pembangunan Komuniti Kraf sebanyak RM20,000 yang dikhaskan kepada Persatuan Pengukir Malaysia bagi menyelaras program bersama komuniti belia untuk pembangunan komuniti kraf kayu baharu.

“Daripada jumlah pembelian oleh pelancong di negara ini pada 2017, statistik menunjukkan sebanyak 85.6 peratus membabitkan produk kraftangan dan cenderahati.

“Oleh itu, usahawan kraf harus merebut peluang dengan menghasilkan produk baru, unik, kreatif dan berkualiti.

“Justeru, kita harap suntikan dana kedua-dua insentif ini dapat menyemarakkan semangat dan meningkatkan kreativiti komuniti kraf baharu selain sedia ada untuk terus aktif menghasilkan produk kraf sekali gus memberi sumbangan dalam pembangunan industri kraf negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti Kraf Malaysia Peringkat Terengganu di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu di Chendering di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail; Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Suryani Senja Alias; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian, Saraya Arbi.

Mengulas mengenai program itu, Mohamaddin berkata, ia untuk memupuk kesedaran dan memberi pendedahan kepada komuniti setempat mengenai produk kraf tempatan.

“Bersempena program ini, sebanyak lima aktiviti makmal pembangunan dan pengeluaran produk baru berlangsung secara berperingkat membabitkan 145 peserta terdiri daripada usahawan kraf negeri, komuniti suri dan komuniti OKU (orang kurang upaya),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian amat menggalakkan pengusaha kraf mengambil peluang untuk memasarkan produk mereka menerusi platform beli-belah dalam talian seperti Lazada dan Shopee.

“Sebelum ini sudah ada, tapi belum menyeluruh dan kita mengalu-alukan jika mereka (pengusaha kraf) menggunakan platform ini supaya lebih mantap, bergantung kepada mereka nak pilih siapa,” katanya.

Berita Harian X