Khamis, 31 Januari 2019 | 9:09am

Pelarian impi kembali ke negara asal

MATA pelarian yang juga bekas pekebun anggur, Amein Abdul Kadeir Hammud, mulai berkaca apabila ditanyakan mengenai rancangan masa depan kembali ke Syria.

Dalam kerancakan berkongsi pengalaman hidup, tiba-tiba perbualannya terhenti sebaik penulis tanyakan sama ada beliau mahu kembali meneruskan kehidupan di Qalamun, Syria, kampung halaman yang ditinggalkan sejak lebih enam tahun lalu.

Amein Abdul Kadeir, 70, berkata tiada pelarian Syria yang tidak mempunyai impian kembali ke negara asal mereka, meskipun selepas sekian lama mendiami kem pelarian di Lubnan.

“Memang kami selamat di sini tapi saya ingin kembali meneruskan kehidupan sebagai pekebun anggur dan berniaga seperti biasa, tapi apakan daya.

“Ketika membawa keluarga menyelamatkan diri dulu, kawasan kampung termasuk kebun yang menjadi sumber rezeki kami, kini habis musnah.

“Bagaimana kami mahu membangunkan semula kehidupan jika tiada apa yang tinggal di sana kecuali kawasan yang musnah.

AMEIN bersama keluarganya masih menaruh harapan untuk pulang ke Syria suatu hari nanti. - NSTP/Ismail Mat
AMEIN bersama keluarganya masih menaruh harapan untuk pulang ke Syria suatu hari nanti. - NSTP/Ismail Mat

“Namun masalah paling besar, rakyat yang keluar dari Syria dianggap sebagai penentang rejim pemerintah,” katanya ketika diziarahi saya bersama rakan-rakan sukarelawan Aman Palestin di kem Al-Awdah yang didiami di sini.

Anak, menantu maut

Amein Abdul Kadeir bersama keluarganya mengharungi tragedi ketika perang melanda Syria apabila anak serta menantunya, Khaled Amin Hammud dan Fatma Muhammad al Halabi, maut terkena tembakan rambang di Damsyik pada 2012.

Tragedi itu menyebabkan dua cucunya, Amein Khaled Hammud, 12 dan kakaknya, Sameerah Khaled Hammud, 14, menjadi yatim piatu dan kini berada di bawah jagaannya.

Mengimbas perjalanannya ketika melarikan diri daripada kesan perang di Syria, beliau berkata, sepanjang perjalanan mereka hanya mampu membawa beberapa helai pakaian kerana menumpang kenderaan yang ditemui di jalanan.

“Kami hanya mampu menahan sebak setiap kali terlihat mayat bergelimpangan di jalanan kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata, tragedi menimpa anak dan menantunya menyebabkan trauma berpanjangan kepada kedua-cucunya.

“Kami boleh meneruskan kehidupan di sini tetapi ingatan kepada mereka tidak pernah padam,” katanya.

Amein Abdul Kadeir antara ratusan ribu pelarian Syria yang mendiami kem sekitar Lembah Beqaa, yang masih menaruh harapan untuk kembali ke negara asal, tetapi perkembangan semasa menyukarkan impian mereka menjadi kenyataan dalam tempoh yang singkat.

Malahan, ada dalam kalangan pelarian sudah disemadikan di Lubnan selepas meninggal dunia ketika mendiami kem di sini.

Terus kerja agihan bantuan

Sementara itu, sebagai tugasan terakhir kami, penulis bersama sukarelawan Aman Palestin meneruskan kerja agihan bantuan minyak tanah kepada pelarian di kem Al-Awdah di sini, sebelum meninjau kem penempatan sambil mengagihkan sumbangan makanan berdekatan Aramun, Beirut, petang kelmarin.

Meskipun misi sukarelawan Aman Palestin di Lembah Beqaa berakhir semalam, orang ramai masih boleh meneruskan sumbangan untuk membantu pelarian Syria menghadapi musim sejuk sehingga April ini.

Aman Palestin akan terus mengagihkan sumbangan dengan kerjasama Union of Relief and Development Association (URDA) di sini.

Ikuti laporan selanjutnya dalam akhbar BH esok.

Sumbangan untuk Program Bantuan Musim Sejuk kepada pelarian Syria boleh dibuat menerusi akaun Maybank Aman Palestin 562263010787 atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi www.amanpalestin.net

PELBAGAI cara digunakan oleh keluarga pelarian untuk mengambil bantuan yang diagihkan kepada mereka. - NSTP/Ismail Mat
PELBAGAI cara digunakan oleh keluarga pelarian untuk mengambil bantuan yang diagihkan kepada mereka. - NSTP/Ismail Mat
Berita Harian X