Isnin, 28 Januari 2019 | 10:52pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto NSTP/Rozainah Zakaria
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto NSTP/Rozainah Zakaria

Bilangan pelajar, lokasi sekolah tentukan harga kontrak bekalan makanan bermasak di SBP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pengiraan keseluruhan harga kontrak bekalan makanan bermasak di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mengambil kira bilangan pelajar dan lokasi sekolah.

KPM dalam kenyataan hari ini, berkata sebagai contoh, semakin ramai murid, semakin rendah harga kontrak dan dalam pada itu, semakin jauh sekolah dari kawasan bandar, makin tinggi harga kontrak sekolah berkenaan

Katanya, penetapan harga kontrak juga berdasarkan kepada kontrak yang dianugerahkan melalui tender terbuka dan dipersetujui antara kontraktor dengan kerajaan.

"Bagi tender yang baru dianugerahkan untuk tahun 2019, pelantikan kontraktor adalah secara kaedah tender terbuka melalui sistem ePerolehan (eP) sepenuhnya dan pemilihan kontraktor adalah berdasarkan kriteria yang selaras dengan garis panduan, peraturan serta pekeliling berkaitan perolehan yang berkuat kuasa.

"KPM memilih kontraktor melalui kaedah tender terbuka di mana ia dilaksanakan dengan telus dan penuh integriti.

"Menjadi prinsip KPM supaya setiap murid di SBP mendapat makanan yang berkualiti. KPM memberi jaminan tidak akan berkompromi dalam hal ini," menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, KPM berkata harga makanan di asrama berdasarkan menu yang diputuskan mengikut keperluan nutrisi pelajar seperti ditetapkan kementerian itu bagi bekalan makanan bermasak.

Katanya, KPM tidak pernah mengurangkan kadar harga makanan bagi pelajar SBP seperti yang didakwa Datuk Seri Najib Razak.

"KPM menafikan dakwaan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya kerajaan Pakatan Harapan mengurangkan kadar peruntukan bagi makanan untuk murid SBP kendalian KPM," katanya.

Semalam, Najib dilaporkan mendakwa kadar makanan sehari di SBP dikurangkan daripada RM18 kepada RM14.50.

“Baru dapat tahu Kerajaan Pakatan Harapan telah mengurangkan kadar makanan sehari di SBP daripada RM18 kepada RM14.50.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu tak terlintas nak buat perkara ini ,” katanya menerusi hantaran di akaun Twitter miliknya semalam.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam reaksi awalnya berkata dakwaan berkenaan bukan sahaja tidak benar malah disifatkan sebagai fitnah.

Berita Harian X