Selasa, 22 Januari 2019 | 8:01pm
Bendera Malaysia kini berkibar megah di Gaza sebagai tanda penghargaan penduduk negara itu terhadap keputusan Malaysia mengharamkan kemasukan atlet Israel. - Ihsan FB Muslim Imran
Bendera Malaysia kini berkibar megah di Gaza sebagai tanda penghargaan penduduk negara itu terhadap keputusan Malaysia mengharamkan kemasukan atlet Israel. - Ihsan FB Muslim Imran

Rakyat Palestin kibar Jalur Gemilang sokong Malaysia haramkan atlet Israel

PETALING JAYA: Bendera Malaysia kini berkibar megah di Gaza sebagai tanda penghargaan penduduk negara itu terhadap keputusan Malaysia mengharamkan kemasukan atlet Israel.

Di Stadium Yarmouk yang juga stadium tertua Palestin di Gaza, peminat bola sepak Palestin meraikan ketegasan Malaysia itu dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada perlawanan Sabtu lalu.

Bersebelahan bendera itu, tergantung kain rentang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri kabinet lain atas pendirian mereka menolak kehadiran Israel.

“Terima Kasih Malaysia kerana menolak menjalinkan hubungan dengan Israel,” adalah kata-kata penghargaan yang ditujukan buat kerajaan selepas bertegas menolak kehadiran atlet dari negara Zionis itu walaupun dikritik di peringkat antarabangsa.

Pada Ahad lalu, peminat bola sepak Palestin terus meraikan sokongan mereka terhadap Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan kain rentang sama di Stadium Palestin, iaitu tempat asal pasukan bola sepak kebangsaan Palestin yang dibom rejim Zionis itu pada 2006.

“Pengibaran bendera dan kain rentang itu di padang bola adalah sebagai tanda sokongan dan penghargaan rakyat Palestin. Pendirian Malaysia itu sangat dihargai dan disambut dengan penuh kegembiraan oleh penduduk Palestin khususnya di Gaza,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin, Muslim Imran kepada FMT.

Katanya, rakyat Palestin tidak ketinggalan menyatakan sokongan ke atas Malaysia di media sosial di bawah tanda pagar ‘#SupportMalaysia’ dan sebulat suara menyebarkan sokongan itu di Instagram, Facebook dan Twitter.

Putrajaya sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia mengharamkan atlet Israel bertanding di Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak bermula 29 Julai hingga 4 Ogos.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kemudian berkata, Malaysia mengenakan sekatan kekal ke atas rakyat Israel untuk mengambil bahagian dalam sebarang acara yang dianjurkan di negara ini.

Berucap di Kesatuan Oxford di Britain Sabtu lalu, Dr Mahathir turut mengulangi pendirian kerajaan terhadap atlet Israel.

Jurucakap kementerian luar Israel, Emmanuel Nahshon mengutuk pengharaman itu, dengan berkata keputusan berkenaan dicetuskan dari sentimen anti Semitis yang menjadi pegangan Dr Mahathir.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaimanapun berkata, kecaman Israel itu membuktikan hipokrasi terbesar rejim Zionis berkenaan.

Berita Harian X