Rabu, 19 Disember 2018 | 9:09pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Hari Penglihatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Health Berhad 2018 di Pusat Kesihatan Tawakal (THC), hari ini. - Foto Aswadi Alias
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Hari Penglihatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Health Berhad 2018 di Pusat Kesihatan Tawakal (THC), hari ini. - Foto Aswadi Alias

Tiada tempat khas perokok di restoran - Dr Boon Chye

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan akan digerakkan bagi menguatkuasa larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini Januari depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata buat permulaan, tindakan penguatkuasaan terbabit menggunakan pendekatan nasihat kepada perokok mahupun pengusaha restoran.

Katanya, pengusaha restoran tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan disaman jika mematuhi peraturan ditetapkan iaitu menampal notis larangan merokok dan tidak menyediakan bekas abu rokok.

“Mana-mana perokok dan pengusaha restoran yang masih berdegil kita akan saman.

“Enam bulan selepas arahan larangan ini dikuatkuasa, kita tidak bagi ‘chance’ (peluang),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Penglihatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Health Berhad 2018 di Pusat Kesihatan Tawakal (THC) sini, hari ini.

Berhubung cadangan supaya restoran diberi lesen menyediakan tempat khas untuk perokok, Dr Boon Chye menegaskan kerajaan tidak akan membenarkannya.

Katanya, ia selaras Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dianggotai Malaysia sejak 2005 berkaitan komitmen untuk bebas tembakau pada 2045.

“Kita tidak akan benarkan kawasan khas untuk rokok sama ada di restoran berhawa dingin atau tidak. Kalau nak benar kawasan khas, dari segi logistik pun tidak logik.

“Pengusaha restoran seharusnya adakan zon penampan untuk perokok iaitu tiga meter dari restoran,” katanya.

Mulai 1 Januari depan, mana-mana pengusaha restoran dan peniaga serta perokok yang enggan mematuhi peraturan itu akan didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983.

Sementara itu, pada majlis sama, Dr Boon Chye turut menyampaikan cermin mata menerusi program ‘outreach’ kepada sembilan kanak-kanak dari Sekolah Pelangi Kasih di sini yang menempatkan pelarian dan anak yatim.

Program dijalankan Pusat Pakar Mata KPJ itu (KPJ CFS) sejak beberapa bulan lalu itu membantu meningkatkan penglihatan kepada 33 individu memerlukan.

Ia termasuk 24 pesakit warga tua yang menjalani pembedahan katarak percuma melalui penajaan KPJ CFS bernilai RM36,000 dan Lions Club Kuala Lumpur Bukit Kiara yang menyumbang RM26,400 menerusi geran oleh Yayasan CIMB.

Berita Harian X