Ahad, 16 Disember 2018 | 4:07pm
Pelarian di kem Addwa Al-Raudah, Akkar, Lubnan mengambil pek makanan diedar Syria Care. - Foto NSTP
Pelarian di kem Addwa Al-Raudah, Akkar, Lubnan mengambil pek makanan diedar Syria Care. - Foto NSTP

Misi kemanusiaan Syria Care agih sumbangan lebih RM1.4 juta

TURKI: Pertubuhan kemanusiaan dari Malaysia, Syria Care mengagihkan sumbangan lebih RM1.4 juta sepanjang 11 hari menjalankan misi Bantuan Musim Sejuk Syria Care 7.0 di Lubnan, Syria dan negara ini.

Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki, berkata jumlah itu termasuk RM682,312 bagi pembelian keperluan musim sejuk seperti jaket, sarung tangan, stoking, kasut but dan selimut yang diagihkan sepanjang misi membantu pelarian Syria berkenaan.

Katanya, baki kira-kira RM740,000 digunakan bagi penyediaan pek makanan kering dan agihan tunai kepada pelarian yang memerlukan bantuan kewangan seperti untuk membeli barang keperluan bayi serta membiayai kos rawatan.

Selain itu, beliau berkata, membeli makanan, mesin pembakar roti dan khemah untuk pelarian serta pembinaan dua telaga.

“Alhamdulillah, menerusi misi ini, kita berjaya mengagihkan hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada pelarian Syria yang memang berada dalam keadaan terdesak dan sangat memerlukan bantuan.

Pelarian Syria, Busyro Saleh, 23, (kiri) yangt tinggal di kawasan setinggan di Tripolis, Lubnan ketika menerima sumbangan disampaikan Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki. - Foto NSTP
Pelarian Syria, Busyro Saleh, 23, (kiri) yangt tinggal di kawasan setinggan di Tripolis, Lubnan ketika menerima sumbangan disampaikan Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki. - Foto NSTP

“Jumlah itu memang tidak dapat membantu mereka sepenuhnya. Namun, harapan kita ialah setidak-tidak ia dapat meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui pada hari terakhir misi kemanusiaan berkenaan di Reyhanli, di sini.

Siti Sakinah berkata, Syria Care seboleh-boleh ingin membantu memenuhi keperluan semua pelarian ditemui, khususnya yang tinggal di kem.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekangan dana menyebabkan pihaknya hanya dapat membantu memenuhi keperluan mereka yang benar-benar terdesak.

“Syria Care bukan sebuah pertubuhan besar dan dana diterima juga tidak banyak. Justeru, bantuan yang boleh disumbangkan agak terhad.

“Insya-Allah, sekiranya jumlah dana diterima semakin meningkat pada masa depan, Syria Care akan cuba memperluaskan agihan bantuan kepada lebih ramai pelarian,” katanya.

Siti Sakinah berkata, pihaknya turut menghantar bantuan kewangan antara RM300,000 hingga RM400,000 setiap bulan bagi membiayai penyediaan makanan, pendidikan, sewa rumah dan kos rawatan pelarian Syria di tiga negara berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Syria Care berharap lebih ramai rakyat di Malaysia menghulurkan sumbangan.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan penderitaan pelarian Syria boleh menyumbang ke dalam akaun RHB 2622 5000 0217 75 atas nama Syria Care, selain akaun CIMB 8601 8945 60 atau akaun Maybank 5621 0665 3575.

Berita Harian X