Ahad, 9 Disember 2018 | 11:00am
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik bergambar bersama pemenang Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2018 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, malam tadi. - Foto Rozainah Zakaria
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik bergambar bersama pemenang Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2018 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, malam tadi. - Foto Rozainah Zakaria

Bahasa Melayu mampu jadi bahasa rasmi PBB - Maszlee

KUALA NERUS: Hasrat Kementerian Pendidikan menjadikan Bahasa Melayu (BM) sebagai satu daripada bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mampu dicapai sekiranya mempunyai tekad yang tinggi kerana sifat dan ciri BM yang fleksibel.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata sifat fleksibel BM yang mudah menerima perubahan itu adalah satu ciri bahasa ilmu yang relevan dengan peredaran zaman sekali gus menjadi satu kekuatan untuk BM berkembang dengan bahasa lain di dunia dalam mengharungi gelombang Revolusi Perindustrian Keempat.

Katanya, ketika ini, Bahasa Inggeris yang memiliki kerangka standardnya yang tersendiri iaitu The Common European Framework of References for Language (CEFR) adalah antara enam bahasa rasmi di PBB.

“Justeru, pembinaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KBSM) yang dibangunkan oleh pakar bahasa di negara ini bakal menjadi pengikat kepada kesepakatan dan jati diri penutur dalam konteks budaya dan aspirasi bahasa.

“Kementerian akan menjadi peneraju utama dalam memastikan penghasilan kerangka ini dibantu oleh pakar dan agensi berkaitan.

“Kerangka ini amat penting bagi memastikan BM bersifat saintifik dan tekal (tidak berubah) serta menjadi rujukan utama dunia dan kelak ia menjadi salah satu bahasa rasmi di PBB.

“Selain itu, kerjasama pelbagai pihak seperti kementerian berkaitan, agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan institut pendidikan tinggi perlu diperkasa dan diperluaskan bagi memastikan kelestarian BM,” katanya pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2018 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, malam tadi.

Pada pertandingan itu, sembilan peserta dari lapan negara termasuk Malaysia layak ke pusingan akhir membabitkan tiga kategori iaitu Antarabangsa, Alam Melayu dan Antarabangsa di Malaysia.

PABM yang memasuki edisi ke-12 disertai 50 peserta dari 31 negara seperti China, Thailand, Bangladesh, Perancis, Jerman, Kemboja, United Kingdom, Indonesia, Brunei dan Singapura bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.

Maszlee berkata, media cetak, elektronik dan sosial juga boleh memainkan peranan sebagai ejen penyebaran keunggulan BM termasuk mengambil inisiatif di ruang siber yang terbuka untuk mengembang dan mempromosikan lagi BM sebagai bahasa utama yang dinamik dan relevan.

Katanya, semua pengamal dan pejuang BM juga disarankan mengambil peluang dan mengisi ruang dalam dunia tanpa sempadan untuk mengantarabangsakan BM di samping memperteguhkannya sebagai wadah pembangunan peradaban bangsa.

Berita Harian X