Rabu, 5 Disember 2018 | 3:42pm
TOON Koon Ku (tiga dari kanan) memberi kenyataan membantah cadangan larangan merokok sepenuhnya dalam premis makanan semasa sidang media bersama peniaga restoran dan persatuan pengusaha restoran di Jalan Pangkor. - NSTP/Danial Saad
TOON Koon Ku (tiga dari kanan) memberi kenyataan membantah cadangan larangan merokok sepenuhnya dalam premis makanan semasa sidang media bersama peniaga restoran dan persatuan pengusaha restoran di Jalan Pangkor. - NSTP/Danial Saad

Persatuan kedai makan, minum, runcit bantah larangan merokok

GEORGETOWN: Lapan persatuan pengusaha kedai makanan, minuman dan runcit berhimpun secara aman membantah larangan merokok sepenuhnya di premis sedemikian yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Antaranya ialah, Persatuan Restoran India Malaysia (PRIMAS); Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia dan Persatuan Tuan-Tuan Empunya Kedai Kopi dan Makanan Seberang Perai.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Foochow, Toon Koon Ku, berkata larangan itu disifatkan keterlaluan, selain akan menyebabkan pengendali kedai makanan, minuman dan runcit mengalami kerugian.

Katanya, denda bernilai ribuan ringgit akan dikenakan kepada peniaga yang gagal menghalang pelanggan merokok di premis masing-masing bakal menyulitkan lagi keadaan dan kos operasi mereka.

“Kami menyokong hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat sihat, selain percaya bahawa hanya berkata ‘ya’ atau ‘tak’, terdapat pendekatan saksama boleh dipertimbangkan bagi memenuhi kehendak semua pihak.

“Sebanyak 60 peratus rokok dihisap adalah hasil seludup dan bukankah lebih efektif bagi kerajaan untuk membasmi rokok haram ini supaya perokok dapat berhenti daripada tabiat terbabit?

“Mengapa Kementerian Kesihatan tak saman mereka yang hisap rokok seludup, sebaliknya mendenda pemilik perniagaan kerana gagal halang individu merokok dalam kedai kami? Mengapa tolak tanggungjawab kepada kami?” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan dilapor mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini dengan cadangan itu sudah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Noor Mohamed SPK Mohd Abdullah, berkata kerajaan tidak seharusnya membuat sesuatu keputusan tanpa menjalankan kajian menyeluruh.

Selain itu, katanya, kerajaan seharusnya memberi kelonggaran kepada pengusaha kedai makanan, minuman dan runcit untuk sekurang-kurangnya menyediakan kawasan khas merokok dalam premis masing-masing.

“Mereka sebaliknya menetapkan kawasan 10 kaki (3.05 meter) daripada premis adalah kawasan untuk perokok merokok. Adakah ia relevan? Adakah kerajaan tahu bahawa kebanyakan premis seperti kami ini adalah berbentuk teres dan bersambung?

“Ia ternyata memberi lebih banyak kelemahan berbanding kebaikan, khususnya faktor keselamatan pelanggan dan keluarganya. Kerajaan seharusnya mencari penyelesaian menang-menang bagi semua pihak.

“Beberapa minggu lalu kita sudah menghantar memorandum bantahan berhubung perkara ini kepada Kementerian Kesihatan, bagaimanapun masih tiada sebarang maklum balas diberikan dan hari ini kami datang ke perhimpunan ini untuk memberi sokongan kepada rakan lain,” katanya.

Berita Harian X