Selasa, 4 Disember 2018 | 6:19pm
Ahli Parlimen Kota Tinggi daripada Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique. - Foto Amran Hamid
Ahli Parlimen Kota Tinggi daripada Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique. - Foto Amran Hamid

Menteri wanita 'alert', cepat bertindak - Halimah

KUALA LUMPUR: Kepantasan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, bertindak dalam menangani tragedi membabitkan anggota bomba mendapat pujian seorang Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Kota Tinggi daripada Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique, berkata Zuraida peka dengan apa yang berlaku dan menjalankan tugasnya dengan baik.

“Saya ucapkan tahniah kepada menteri kerana bertindak pantas membantu kes membabitkan enam anggota bomba yang lemas ketika bertugas tidak lama dulu.

“Menteri wanita macam ni memang ‘alert’ (peka), cepat bertindak. Menteri juga turun padang dan ke kuil di Subang Jaya untuk menyelesaikan insiden dihadapi baru-baru ini.

“Malah, menteri bersama-sama timbalannya turut membantu memindahkan anggota bomba yang cedera, Muhammad Adib Mohd Kassim,dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) ke Institut Jantung Negara (IJN).

“Kadang-kadang menteri ni tak tahu dia kena buat perkara seperti ini dan saya harap menteri lain belajarlah bagaimana cara Ampang (Zuraida) menjalankan tugas,” katanya.

Halimah berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 3 Oktober lalu, enam anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika operasi mencari remaja lelaki yang terjatuh di dalam lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong.

Dalam kejadian 27 November lalu, Muhammad Adib cedera parah selepas dipukul kumpulan perusuh di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dan kini dilaporkan stabil.

Berita Harian X