Isnin, 3 Disember 2018 | 5:58pm
Pelarian Syria di kem Karbat Dawood terletak di sempadan Lubnan dan Syria megambil pek bantuan makanan yang diagihkan oleh pertubuhan kemanusiaan, Syria Care. - Foto Nor Farizan Abdull Rahman
Pelarian Syria di kem Karbat Dawood terletak di sempadan Lubnan dan Syria megambil pek bantuan makanan yang diagihkan oleh pertubuhan kemanusiaan, Syria Care. - Foto Nor Farizan Abdull Rahman

Pelarian gembira terima bantuan Syria Care

AKKAR, Lubnan: Syukran. Jazakallahu khairan Malaysia, Jazakallahu khairan Syria Care (Terima kasih. Semoga Allah memberkatimu Malaysia, semoga Allah memberkatimu Syria Care).

Itu ucapan pelarian Syria di kem pelarian terletak antara sempadan negara bergolak itu dengan Lubnan sebaik menerima sumbangan pek makanan diserahkan oleh pertubuhan kemanusiaan, Syria Care hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Kami difahamkan, mereka sungguh terharu apabila menerima bantuan itu berikutan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sumbangan diterima sangat sedikit menyebabkan pelarian di kem-kem pelarian di situ terpaksa mencatu sendiri makanan harian.

Wakil Syria Care di Lubnan, Abbushi berkata ada antara kem berkenaan sudah wujud sejak enam tahun lalu, namun belum pernah sekalipun menerima kunjungan wakil pertubuhan kemanusiaan dari luar.

Kebanyakan penghuni kem pelarian hanya bergantung pada sumbangan penduduk setempat yang bersimpati dengan nasib mereka.

“Sebenarnya, ada yang mengalu-alu kehadiran mereka di Lubnan, namun ada yang tidak suka melihat mereka.

“Kehadiran pelarian Syria ini tidak diambil peduli oleh kebanyakan penduduk di negara ini apatah lagi mahu membantu mereka.

“Jadi, apabila menerima kunjungan serta bantuan serta lawatan petugas misi kemanusiaan Syria Care yang mengagihkan hasil sumbangan wang rakyat Malaysia, pelarian di sini berbesar hati dan terharu,” katanya ketika ditemui selepas pengagihan pek makanan di Kem Addwa al-Raudah, di sini, semalam.

Abbushi berkata, boleh dikatakan tidak banyak pertubuhan kemanusiaan asing yang memberi bantuan bagi mengurangkan beban pelarian Syria.

“Kami bertanya dengan penghuni di kem-kem pelarian di sini, mereka mengakui jarang menerima kunjungan daripada pertubuhan kemanusiaan termasuk dari Lubnan sendiri.

“Dunia seakan-akan tidak peduli dengan nasib mereka. Jadi, mereka sangat berterima kasih bila Syria Care datang dan memberi sumbangan pek makanan biarpun hanya cukup menampung bagi keperluan beberapa minggu sahaja,” katanya.

Menurut Abbushi, kebanyakan pelarian tidak kisah mengenai berapa besar sumbangan itu, sebaliknya mahu masalah mereka didengari berikutan ada antaranya memerlukan sumbangan bagi membeli ubat-ubatan termasuk keperluan makanan bayi serta kanak-kanak.

“Di kem-kem pelarian ini, kebanyakan ibu bapa tidak kisah mengenai keperluan untuk mereka makan.

“Bagi mereka, keperluan utama adalah yang sakit mendapat rawatan sewajarnya termasuk bekalan ubat diperlukan, manakala anak-anak mendapat makanan yang mencukupi. Jika mereka (ibu bapa) dapat makanan untuk mengalas perut sahaja, itu sudah mencukupi,” katanya.

Berita Harian X