Sabtu, 1 Disember 2018 | 1:20pm
PENGERUSI Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki (dua dari kiri) mengetuai misi kemanusiaan. - Foto Emel NSTP
PENGERUSI Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki (dua dari kiri) mengetuai misi kemanusiaan. - Foto Emel NSTP

Syria Care mula agih bantuan kepada pelarian

TRIPOLI, Lubnan: Pertubuhan kemanusiaan dari Malaysia, Syria Care, memulakan misi kemanusiaan bagi membantu pelarian Syria yang berada di sini, hari ini.

Menerusi misi ini, Syria Care melawat ke kawasan setinggan di Mina’, Tripoli yang menempatkan kira-kira 300 pelarian.

Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki, berkata Syria Care menyerahkan sebanyak 33 pek makanan mengandungi barangan diperlukan pelarian di sana.

Katanya, barangan berkenaan terdiri daripada minyak masak, minyak sapi, kekacang, gandum serta pek makanan kering.

“Selain pek makanan, hari ini juga kita menyerahkan sumbangan wang kepada beberapa keluarga di sini yang sudah dikenal pasti oleh wakil kami di Tripoli terlebih dulu.

“Biarpun tidak cukup bagi memenuhi keperluan 300 keluarga di sini, namun kami berharap setidak-tidaknya ia mengurangkan beban beberapa keluarga pelarian yang sangat-sangat memerlukan bantuan itu,” katanya ketika melawat ke kawasan itu, hari ini.

Siti Sakinah berkata, sasaran utama misi bantuan itu memberi fokus kepada balu, anak yatim serta keluarga yang mempunyai anak kecil yang masih menyusu dan tidak mendapat diet pemakanan yang berzat.

“Kumpulan pelarian seperti balu dan anak yatim itu adalah yang paling teruk terjejas kerana mereka bergantung harap pada ihsan orang sepenuhnya.

“Mereka tiada suami atau bapa yang menjadi tonggak keluarga bagi diharap untuk mengambil upah bekerja sebagai buruh di sini berbanding orang lain yang masih ada suami dan bapa,” katanya.

Menurut Siti Sakinah, Syria Care akan cuba mengenal pasti lebih banyak keluarga pelarian di situ yang memerlukan bantuan pada masa akan datang.

“Syria Care kalau boleh cuba untuk membantu seramai mana pelarian yang ada di sini, tetapi disebabkan kekangan kewangan serta dana kita terpaksa mengehad dan memilih keluarga yang betul-betul terdesak.

“Mungkin, pada masa depan jika sumbangan diterima Syria Care lebih besar, insyaAllah kita akan hantar lagi bantuan kepada lebih banyak keluarga di sini,” katanya.

Berita Harian X