Sabtu, 24 November 2018 | 6:53pm
DR Mohamad Saleeh. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
DR Mohamad Saleeh. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

PENA sedia tentang ancaman pemandulan bahasa Melayu, ICERD

KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersedia menentang ancaman dan gejala pemandulan bahasa Melayu termasuk isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) bagi memelihara kestabilan negara.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, sebarang percubaan untuk meruntuhkan kontrak sosial yang diasaskan antara penduduk asal Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu dan kaum lain akan diperjuangkan dengan tegas.

Katanya, PENA bukan sekadar berfungsi menyuburkan bakat penulis dan karya bermutu, tetapi turut berperanan mempertahankan bahasa Melayu demi pemantapan negara bangsa.

“Kita dapati bahasa Melayu sering dijadikan sasaran serangan politik atas alasan yang direka walaupun sudah berkali-kali dibahaskan pejuang bahasa tuntutan mereka itu melanggar Perlembagaan Persekutuan atau Dasar Pelajaran Kebangsaan.

“Terbaharu, mereka cuba membawa idea supaya ICERD diratifikasi oleh kerajaan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PENA ke-55, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dilaporkan berkata, kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa, termasuk ICERD dalam suku pertama tahun depan.

Pada masa sama, Mohamad Saleeh menyokong kenyataan Pejabat Perdana Menteri, menyatakan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan semoga ia menghentikan sebarang usaha provokasi yang bakal menjerumuskan negara ke kancah bencana.

“Tanpa isu ICERD sekali pun kedudukan bahasa Melayu memang sudah terancam kerana dihimpit oleh permainan politik perkauman dan dominasi komersialisme.

“Apatah lagi jika ICERD diratifikasi bahasa Melayu akan menjadi bahan tawar-menawar dalam kancah politik,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Saleeh mengekalkan jawatan presiden PENA untuk tempoh lima penggal berturut-turut selepas menang tanpa bertanding, pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-55, persatuan berkenaan.

Mohamad Saleeh akan menerajui PENA untuk penggal 2018 hingga 2020.

Timbalan Presiden PENA, disandang oleh Dr Mohd Hanafi Ibrahim; Setiausaha Agung,

Saifullizan Yahaya; Timbalan Setiausaha, Hani Salwa Yaakup dan Bendahari Dr Shamsudin Othman.

Sementara itu, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron adalah muka baru ahli jawatankuasa PENA untuk penggal ini.

Berita Harian X