Isnin, 5 November 2018 | 12:44pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. - Foto Nadim Bokhari
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. - Foto Nadim Bokhari

Sarawak umum bajet RM11.91 bilion, tertinggi dalam sejarah

PETRA JAYA: Rakyat Sarawak akhirnya mampu menikmati pembangunan lebih agresif selepas era Barisan Nasional (BN) apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM9.07 bilion, khusus untuk perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan Sarawak 2019.

Keseluruhannya, sejumlah RM11.91 bilion bagi belanjawan negeri tahun depan, yang tertinggi dalam sejarah Sarawak, dengan RM2.84 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi.

Pada Belanjawan 2019 Kerajaan Pusat dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu, Sarawak hanya menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.35 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, kerajaan negeri komited memperhebat pelaksanaan program dan projek di kawasan luar bandar selepas sejumlah 67 peratus atau RM6.05 bilion, dikhususkan bagi kawasan terbabit.

“Peruntukan bagi kawasan luar bandar terbabit adalah melebihi peruntukan RM2.98 bilion pada 2017 dan RM3.06 bilion tahun ini.

“Sehingga 31 Oktober ini, sejumlah RM6.77 bilion atau 73 peratus sudah dibelanjakan bagi Bajet 2018,” katanya selepas membentangkan Bajet 2019, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Katanya, bagi tahun depan, kerajaan negeri menjangka bakal memperoleh pendapatan berjumlah RM10.51 bilion, peningkatan RM3.55 bilion atau 51 peratus berbanding RM6.96 bilion tahun ini.

“Kita menjangkakan Sarawak mencapai rekod pendapatan paling tinggi iaitu melebihi RM10 bilion untuk digunakan demi pembangunan negeri bagi manfaat rakyat Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada inisiatif kerajaan negeri meneroka sumber pendapatan baharu termasuk pengenalan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum.

“Jumlah pendapatan cukai dijangka mengutip RM5.27 bilion atau 50 peratus daripada keseluruhan pendapatan pada 2019. Pendapatan dijana cukai adalah RM4.46 bilion hasil cukai jualan dengan RM3.9 bilion dijana cukai daripada sumber petroleum. Selain itu, RM474 juta daripada sumber hutan, manakala RM332 juta daripada royalti air mentah, sewa tanah dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak empat jambatan akan dibina membabitkan Jambatan Muara Lassa, Mukah; Jambatan Batang Rambungan, Lundu; Jambatan Bintulu/ Jepak, Bintulu dan Jambatan Batang Lupar, Betong.

“Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan dasar baharu di mana setiap bayi dilahirkan di negeri ini akan memperoleh one-off insentif berjumlah RM1,000 tanpa mengira etnik, agama dan status sosial.

“Insentif berkenaan hanya dibenar dikeluarkan pada usia 18 tahun dan ia untuk digunakan bagi melanjutkan pengajian atau modal untuk mengejar karier masing-masing,” katanya.

Berita Harian X