JOHOR BAHRU: Kerajaan Singapura akan memadankan langkah Malaysia memansuhkan tol yang dikenakan bagi motosikal di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) Tuas mulai Januari 2019.
Berita Harian Singapura hari ini melaporkan Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT), dalam satu kenyataan kepada The Straits Times, memaklumkan langkah itu susulan pengumuman kerajaan Malaysia untuk memansuhkan tol yang dikenakan bagi motosikal di Linkedua baru-baru ini.
“Sekiranya Malaysia mengurangkan atau memansuhkan tol bagi motosikal di Linkedua, Singapura akan memadankan kadar tol yang disemak itu.
“Langkah itu sejajar dengan dasar sejak dulu lagi yang memadankan setiap perubahan pada tol Malaysia,” katanya.