KOTA BHARU: Kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan negeri di Pantai Timur termasuk Kelantan dan Terengganu seperti yang didakwa sesetengah pihak, dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan mahu semua negeri berkembang dengan baik dan semestinya tidak mengabaikan negeri termasuk yang diperintah pembangkang.
“Mana ada kita abai...Itu hanya dakwaan dan andaian sesetengah pihak. Saya baru diberi taklimat mengenai projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang baik untuk negeri di Pantai Timur.
“Saya percaya jika semua Menteri Besar dari Pahang, Terengganu dan Kelantan dapat mendengar, ini juga bagus kerana terdapat kemajuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Menghadapi Banjir di Pantai Timur, di sini, hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Kerajaan Negeri selama dua jam itu turut dihadiri wakil agensi dan jabatan di tiga negeri.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan pembentangan Belanjawan 2019 tidak seimbang dari segi pembangunan terutama membabitkan negeri Pantai Timur.
Katanya, kurang tumpuan bagi pembangunan politik di Pantai Timur bukan kerana agenda politik, sebaliknya kerajaan terabai dari segi perancangan.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata kerajaan membelanjakan sebanyak RM8.1 juta bagi bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di negeri Pantai Timur.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, bantuan wang ihsan kepada Kelantan yang dibayar sejak 2017 hingga tahun ini berjumlah RM4.49 juta diikuti Terengganu, RM1.84 juta dan Pahang, RM1.77 juta.