Jumaat, 2 November 2018 | 4:41pm

Pertumbuhan eksport, import dijangka meningkat tahun depan

KUALA LUMPUR: Pada 2019, eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 3.9 peratus, manakala import berkembang 4.1 peratus, kata Kementerian Kewangan.

Menurut kementerian itu, pertumbuhan eksport akan disokong oleh permintaan berterusan untuk barangan pembuatan serta pemulihan dalam eksport komoditi, manakala import pula disokong oleh import barangan pengantara yang berterusan dan aktiviti eksport semula yang stabil.

“Eksport barangan pembuatan dijangka meningkat empat peratus berikutan permintaan yang lebih tinggi khususnya bagi produk elektrik dan elektronik (E&E); kimia dan produk kimia; produk petroleum; barangan perkilangan logam; jentera, kelengkapan dan peralatan; serta barangan optik dan saintifik,” kata kementerian itu dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Subsektor E&E diunjur berkembang 4.4 peratus disumbang oleh penggunaan meluas semikonduktor dalam industri automotif dan peralatan elektronik pengguna seperti peranti terhubung dan perkakasan pintar.

Sementara itu, eksport bukan E&E dijangka meningkat 3.7 peratus sejajar dengan aktiviti pembuatan yang menggalakkan di rantau ini.

Kementerian itu berkata permintaan dijangka kekal stabil bagi bahan kimia organik dan plastik dalam bentuk utama serta jentera dan kelengkapan

Bagi produk petroleum, harga minyak yang stabil dijangka menyokong eksport petroleum bertapis manakala permintaan positif bagi logam perindustrian terus mendorong eksport aluminium, tembaga dan nikel.

Di samping itu, peningkatan permintaan terhadap produk berteknologi tinggi menggalakkan lagi pertumbuhan eksport bagi barangan optik dan saintifik terutamanya peralatan pengukuran, kawalan dan perubatan.

Menurut kementerian itu, eksport pertanian dijangka kembali pulih sebanyak 5.4 peratus disokong oleh peningkatan harga dan permintaan yang lebih tinggi untuk minyak sawit mentah (MSM) dan getah asli.

“Peningkatan penghantaran MSM dan getah asli kepada rakan dagangan utama dijangka menggalakkan lagi pertumbuhan sektor ini,” kata kementerian itu.

Bagi import pula, Kementerian Kewangan berkata import barangan pengantara dijangka kembali pulih 4.2 peratus dan akan terus menyokong aktiviti pembuatan.

Import bagi tujuan eksport semula dijangka terus berkembang kukuh dipacu oleh penempatan semula hab pengedaran syarikat multinatsional ke Malaysia.

Bagi 2018, import kasar dijangka berkembang sederhana 4 peratus disebabkan penurunan import barangan pengantara sebanyak 4.6 peratus, manakala eksport kasar dijangka berkembang 4.4 peratus diterajui oleh permintaan berterusan bagi barangan pembuatan. - BERNAMA

Berita Harian X