Khamis, 1 November 2018 | 5:29pm
TAJUDDIN Abdul Rahman
TAJUDDIN Abdul Rahman

'Speaker kena adil, tak boleh partisan'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO Pasir Salak) hampir diarah keluar dari Dewan Rakyat selepas bertikam lidah dengan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Kekecohan bermula apabila Tajuddin mencelah mengenai isu subsidi baja ketika Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, menjawab perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi pihak kementerian, hari ini.

Bagaimanapun, Tze Tzin mempersoalkan celahan itu dan mendakwa soalan terbabit tidak ditimbulkan dalam perbahasan.

Tidak berpuas hati, Tajuddin mempersoalkan jawapan Tze Tzin itu dan bertalu-talu bertanya sama ada soalan itu boleh dijawab atau tidak, sehingga mendapat kecaman beberapa penyokong kerajaan.

Ketidakpuasan hati Tajuddin memuncak apabila Kor Ming menyifatkan soalan itu spesifik dan tidak dibangkitkan ketika perbahasan.

Ia membuatkan Tajuddin mendakwa Kor Ming sebagai memihak (partisan) dan meminta beliau berlaku adil sebagai Timbalan Speaker.

“Ini (soalan) ada kena mengena. Tuan Speaker kena adil, jangan partisan. Speaker kata tidak kena mengena, ini tidak betul,” katanya sebelum dicelah Willie Anak Mongin (PH-PKR Puncak Borneo) yang menyifatkan Tajuddin tidak memahami peraturan walaupun sudah lama menjadi Ahli Parlimen.

Pertikaman lidah antara Tajuddin dan Kor Ming berterusan sehingga Timbalan Speaker itu terpaksa membaca Peraturan Mesyuarat.

“Perkara 35(1), seorang ahli yang hendak bercakap hendaklah bangun di tempatnya dan apabila dipanggil oleh pengerusi, hendaklah berdiri mengarahkan ucapan kepada pengerusi, seseorang ahli tidak boleh bercakap melainkan dipanggil pengerusi. Faham?

“Semua orang boleh melihat Pasir Salak (Tajuddin) sengaja mengundang kekecohan, dia sengaja.

“Sekiranya sikap ini tidak berubah, saya terpaksa mengambil tindakan terhadap Pasir Salak, jadi sila duduk, saya beri peluang terakhir,” katanya.

Tajuddin akhirnya akur dan duduk tanpa mengganggu persidangan.

Berita Harian X