Isnin, 29 Oktober 2018 | 1:26pm

Maszlee dilabel 'menteri kasut'

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dilabel sebagai ‘menteri kasut’.

Maszlee yang sedang menjawab soalan lisan berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), berperang mulut dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang sehingga Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, terpaksa campur tangan.

Kekecohan bermula ketika Maszlee yang menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-UMNO Padang Terap) mendakwa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hanya mampu bercakap isu kasut hitam dan sarung kaki serta tidak berupaya mencari penyelesaian berhubung UEC.

“Isu UEC timbul kerana tiada libat urus daripada pemegang taruh secara rasional oleh kerajaan terdahulu, berbeza dengan kerajaan hari ini yang fokus terhadap mencari penyelesaian.

“BN hanya tahu naikkan isu kasut dan sarung kaki. Hanya itu tahap Ahli Parlimen BN,” katanya.

Dakwaannya itu menyebabkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO Pasir Salak) bangun mencelah untuk membantah dan melabelkan Maszlee sebagai ‘menteri kasut’.

“Ini ‘menteri kasut’ saja ni,” kata Tajuddin manakala Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (BN-UMNO Lenggong) turut bangun dan menggelar Maszlee sebagai ‘Yang Berhormat Kasut’.

Enggan mengalah, Maszlee berterusan mendakwa Ahli Parlimen BN hanya tahu bercakap soal kasut berbanding isu serius seperti UEC.

Situasi tegang itu bagaimanapun dapat dikawal oleh Kor Ming yang menutup mikrofon semua Ahli Parlimen terbabit bagi mengelak keadaan melarat dan meminta Maszlee meneruskan jawapannya.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika menyampaikan ucapan pada Pertandingan Akhir Pidato Piala Menteri Pendidikan 2018 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), malam tadi. - Foto BERNAMA
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika menyampaikan ucapan pada Pertandingan Akhir Pidato Piala Menteri Pendidikan 2018 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), malam tadi. - Foto BERNAMA
Berita Harian X