Rabu, 24 Oktober 2018 | 2:49pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Iqmal Haqim Rosman
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Nyah peminjam disenaraihitamkan bukan sebab kutipan balik PTPTN kurang

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menafikan penurunan kadar kutipan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana tindakan mengeluarkan nama peminjam yang disenaraihitamkan, Jun lalu.

Sebaliknya, Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata kekurangan kutipan balik dana itu kerana tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memanjangkan tempoh bayaran balik pinjaman dari enam bulan selepas bekerja kepada setahun.

Katanya, kekurangan itu susulan pengumuman dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 berhubung permulaan peminjam membuat bayaran balik pinjaman.

“Penurunan jumlah kutipan bukan sebab Pakatan Harapan (PH) sahaja tapi BN yang telah panjangkan tempoh mula bayaran balik pinjaman. Itu sebablah berlakunya penurunan ini.

“Jadi jangan hendak letakkan semua kesalahan kepada PH. Saya rasa itu tak betul dan tak adil,” katanya menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy dalam soalannya ingin tahu sama ada penurunan kadar bayaran balik sehingga RM500 juta kerana tindakan kerajaan mengeluarkan nama peminjam di senarai hitam.

Nie Ching berkata Najib yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memanjangkan tempoh mula bayaran balik dari enam bulan kepada 12 bulan ketika membentangkan Bajet 2018 yang berkuat kuasa 1 November lalu.

“Sebab itu, sejak Januari tahun ini, kita dapat lihat penurunan. Pada Januari 2017, jumlah kutipan balik sebanyak RM351 juta tapi Januari tahun ini kutipannya RM297 juta, penurunan sebanyak RM54 juta.

“Kutipan Mac 2017 pula adalah RM384 juta, Mac 2018 hanya RM293 juta, penurunan sebanyak RM90 juta,” katanya.

Menjawab soalan asal Khairy mengenai jumlah kutipan bayaran balik PTPTN selepas tindakan senarai hitam dihapuskan, Nie Ching berkata bermula Jun hingga September lalu, jumlah kutipan balik adalah RM817.56 juta berbanding RM1.32 bilion yang dikutip bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, bagi memastikan bayaran balik yang berterusan daripada peminjam, tindakan penyenaraian dan kemas kini rekod bayaran peminjam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) masih dilaksanakan.

“Selain itu, tindakan perundangan seperti saman juga boleh di ambil ke atas peminjam,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Hasan Bahrom (PH-AMANAH Tampin), Nie Ching berkata PH tidak pernah berjanji untuk memansuhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN dalam manifestonya.

“Kita mahu bayaran balik dibuat ikut kemampuan sebab itu mereka bergaji bawah RM4,000 diberi tempoh buat bayaran balik, bukannya tidak perlu bayar balik, ” katanya.

Berita Harian X