Rabu, 24 Oktober 2018 | 1:27pm
TAN Sri Dr Mohd Irwan Serigar. - Foto fail NSTP
TAN Sri Dr Mohd Irwan Serigar. - Foto fail NSTP

Gaji Irwan Serigar RM2.94 juta antara 2011-2018

KUALA LUMPUR: Pendapatan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sepanjang beliau berkhidmat di Perbendaharaan antara Januari 2011 hingga Jun 2018 adalah sebanyak RM2.94 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jumlah pendapatan itu hanyalah kadar gaji diterimanya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan saja tidak termasuk pendapatan lain seperti elaun ahli Lembaga Pengarah yang jauh lebih besar.

Katanya, Mohd Irwan juga memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif, Pengarah Bukan Bebas Eksekutif atau Pengarah dalam 23 syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

"Pendapatan Mohd Irwan sebagai Lembaga Pengarah syarikat MKD bagi 2012 hingga Jun 2018 adalah RM3.8 juta, " katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (PH-DAP Kepong) di Dewan Rakyat semalam.

Lip Eng dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah pendapatan yang diperoleh Mohd Irwan dari 2011 hingga kontrak beliau ditamatkan Jun lalu.

Guan Eng berkata, Mohd Irwan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) pada 31 Disember 2010.

Katanya, kemudiannya Mohd Irwan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 24 Ogos 2012 dan bersara wajib 6 Mac 2017.

"Beliau seterusnya dilantik ke dalam perkhidmatan kontrak mulai 7 Mac 2017 sehingga 6 Mac 2019.

"Namun, perkhidmatan beliau disingkatkan kepada 13 Jun lalu," katanya.

Mohd Irwan menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif di 15 daripada 23 syarikat MKD itu, termasuk di 1Malaysia Development Berhad; Aroma Teraju Sdn Bhd; Cyberview Sdn Bhd; Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd.

Berita Harian X