Selasa, 23 Oktober 2018 | 5:20pm
NAJIB Razak pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq
NAJIB Razak pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

6 tonggak KSP RMK-11 ikut acuan BN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata tidak ada yang baharu dalam enam tonggak Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) diperkenalkan kerajaan kerana ia mengambil inspirasi daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata enam tonggak dalam dokumen yang dibentangkan kerajaan itu adalah kesinambungan program dan rancangan yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Enam tonggak itu secara prinsip mengambil cadangan yang sudah dikemukakan kerajaan BN sebelum ini termasuk tadbir urus dana politik yang dikemukakan pada 2010/2011.

“Ini (cadangan) sudah ditolak dan hari ini dalam dokumen ini (KSP) ada cadangan yang sama, ini kita hendak tengok. Pada asasnya, prinsip ini sudah lebih dulu dibuat kerajaan BN,” katanya membahaskan usul KSP RMK-11 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib (BN-UMNO-Pekan) berkata, dokumen itu turut mengesahkan usaha yang dibuat BN dalam mengukuhkan ekonomi negara.

Katanya, dokumen itu menjelaskan pertumbuhan ekonomi negara pada 2016-2017 mengatasi empat negara digelar harimau ekonomi Asia iaitu Korea, Taiwan, Singapura dan Hong Kong

“Sebelum ini ada pihak memomokkan rakyat bahawa negara akan bankrap maka dokumen ini menafikan perkara itu bahawa fakta sebenarnya pertumbuhan negara lebih tinggi, ” katanya.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, paling jelas, dokumen itu mengesahkan nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 50.8 peratus, menyaksikan penyusutan.

“Dalam dokumen ini menyatakan hutang negara pada akhir 2017 adalah RM686 bilion, tidak angka RM1 trilion,” katanya.

Beliau berkata KSP turut menyatakan caj kadar bayaran balik hutang dicapai pada kadar 12.3 peratus, lebih rendah daripada apa ditetapkan kerajaan pada kadar 15 peratus.

“Jelas hutang kerajaan BN menguncup lebih rendah berbanding 25 dan 30 peratus yang dicatatkan pada 1980 hingga awal 90 an,” katanya.

Berita Harian X