Sabtu, 20 Oktober 2018 | 6:06pm
RAIS Yatim merasmikan Alumni Institut Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi
RAIS Yatim merasmikan Alumni Institut Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

DBP tidak lagi boleh diharap - Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini tidak lagi boleh diharapkan dalam usaha untuk memartabatkan pemahaman dan penggunaan Bahasa Melayu di negara ini.

Penaung Alumni Institut Bahasa Melayu, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, badan berkanun itu hari ini gagal bersuara mengenai apakah yang patut dilakukan bersama rakyat dalam soal bahasa.

“DBP dulu-dulu mereka sangat proaktif, sikit-sikit bila orang sentuh (silap) dalam penggunaan bahasa Melayu, mereka perbetulkan. Tapi sekarang mereka tak bersuara lagi, dia dah jadi seperti jabatan saja.

“Bila ada bulan bahasa kebangsaan, mereka dua tiga kerat saja buat majlis lepas itu tenggelam. Barangkali mereka ikut saja arus dan aliran nahu tatabahasa bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Alumni Institut Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) di Lembah Pantai di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Pengarah IPGKBM, Dr Maridah Alias dan Timbalannya Dr Mohamad Isa Azis.

Mengulas lanjut, Rais yang juga bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata, beliau berharap pemikir daripada IPGKBM dapat melihat buku nahu Bahasa Melayu dan membetulkannya kepada penggunaan bahasa yang betul.

“Saya tidak dapat berharap lagi kepada DBP. Kita akan kumpulkan Alumni Institut Bahasa Melayu. Katakanlah dapat 150 tenaga alumni setiap tahun dan kita akan bersuara kepada Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik).

“Kita perlu rancang semula kegiatan bahasa Melayu, budaya Melayu supaya sinonim dengan institut ini dan lebih ramai orang Melayu sedar akan hakikat warisan seni dan budayanya,” katanya.

Berita Harian X