Khamis, 18 Oktober 2018 | 8:19pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto BERNAMA

KSP RMK-11 strategi kembalikan keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR: Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) disifatkan lebih berkisar kepada reformasi proses urus tadbir negara dalam usaha mengembalikan keyakinan pelabur.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan berdepan cabaran besar untuk melaksanakan rantaian proses ‘penjenamaan semula’ berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, ia berupaya diharungi hasil komitmen dizahirkan jentera kerajaan dan anggota Kabinet sepanjang tempoh 100 hari, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

“Apabila kita dapat pastikan urus tadbir kerajaan yang baik, keyakinan pelabur akan kembali ke Malaysia, sekali gus membuka peluang pertumbuhan dan penjanaan pendapatan negara.

“Kejayaan ini seterusnya akan memberi kita keupayaan untuk melakukan pengagihan kekayaan yang saksama dan adil, tanpa mengira wilayah ditadbir pembangkang atau kerajaan.

“Langkah pembaharuan dan penstrukturan semula ini ialah antara intipati dokumen dibacakan Perdana Menteri sebentar tadi,” katanya selepas pembentangan KSP RMK-11 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, jaminan pengagihan secara adil dan saksama di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis perlu dilaksanakan Kerajaan Persekutuan supaya tiada wilayah yang tercicir daripada arus pembangunan.

Selain dasar urus tadbir, beliau berkata sektor pendidikan terus diberi penekanan kerana pembangunan modal insan dan tenaga kerja harus dibangunkan, seiring kewujudan teknologi baharu untuk memenuhi permintaan industri.

“Kita akan kembali sebagai ‘harimau Asia’ dalam konteks ekonomi hari ini,” katanya.

Mengulas sama ada matlamat digariskan dalam KSP RMK-11 melangkaui keupayaan sebenar negara, Azmin berkata, setiap hala tuju dan unjuran ditetapkan secara realistik menerusi siri perbincangan dengan semua menteri serta diperhalusi Kabinet.

Bersandarkan matlamat itu, beliau yakin, semua anggota Kabinet berupaya melaksanakan tugasan dan menyelesaikannya dalam tempoh berbaki dua tahun setengah, iaitu mengikut garis masa RMK-11.

Menyentuh unjuran defisit fiskal negara berkadar tiga peratus menjelang 2020, Azmin mengakui Malaysia bakal berdepan kesan daripada pasaran saham, namun ia dasar yang dipersetujui bersama bagi mencerminkan kerajaan bersikap jujur terhadap pelabur dan rakyat.

“Kita nak bagi komitmen untuk pastikan ekonomi terus berkembang, menerusi pelaksanaan beberapa langkah, termasuk mengetatkan aspek perbelanjaan negara.

“Tetapi langkah yang akan dibuat dalam tempoh dua tahun ini bukan sehingga merencatkan pertumbuhan negara,” katanya.

Berita Harian X