Khamis, 18 Oktober 2018 | 4:51pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

Pemerkasaan Bumiputera tetap diberi penekanan

KUALA LUMPUR: Reformasi Agenda Pemerkasaan Bumiputera akan terus diberi penekanan di samping mempertingkat dan memperkasa kumpulan minoriti termasuk suku kaum di Sabah dan Sarawak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Perdana Menteri menegaskan antara inisiatif yang akan diambil adalah perubahan minda yang positif dan penerapan nilai murni.

Katanya, ia termasuk pengukuhan keberkesanan institusi dan program, pemerkasaan modal insan dan pengukuhan pendidikan dan latihan bagi mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi.

“Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) yang diadakan pada 1 September lalu menghasilkan 63 resolusi yang sedang diteliti kerajaan.

“Kerajaan akan memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dapat membentuk generasi Bumiputera baharu yang berpegang teguh kepada nilai moral integriti serta sikap rajin berusaha,” katanya.

Dr Mahathir turut berkata, sebagai kerajaan yang prihatin ke arah mewujudkan masyarakat saksama, usaha akan dipertingkat untuk memperkasa kumpulan minoriti.

Perdana Menteri berkata, program khusus akan dilaksana bagi suku kaum Sabah dan Sarawak serta Orang Asli, di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Antara inisiatif yang akan dilaksana termasuk penawaran lebih banyak program dan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan.

“Bagi kumpulan tertentu dalam kalangan masyarakat India dan Cina, beberapa program khusus akan dilaksana bagi membangunkan potensi ekonomi mereka dan membasmi kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai program dan inisiatif akan dilaksana untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak, belia, wanita, institusi keluarga, warga kurang upaya dan warga emas, antaranya membangunkan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak serta program pembangunan dan pemerkasaan belia.

“Bagi mempertingkat pembabitan wanita dalam pasaran buruh, majikan digalakkan menyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan aturan kerja yang fleksibel.

“Selain itu, program pembangunan keluarga seperti kemahiran keibubapaan, menyemak semula dasar dan perundangan yang berkaitan orang kurang upaya dan menggalakkan persekitaran penuaan yang aktif bagi warga emas akan dilaksana,” katanya.

Berita Harian X