Ahad, 14 Oktober 2018 | 5:56pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Lawatan Dr Mahathir bawa harapan baharu kepada selatan Thai

BANGKOK: Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara ini pada penghujung bulan ini dilihat meniup harapan baharu terhadap rundingan damai selatan Thailand yang pada masa ini menemui jalan buntu dapat dihidupkan semula.

Pemerhati percaya lawatan dua hari Perdana Menteri Malaysia ketujuh itu bermula 24 Oktober ini amat penting dalam memecahkan kebuntuan rundingan di antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (MARA Patani).

“Lawatan (oleh Perdana Menteri Malaysia lewat bulan ini) dijangka penting terhadap kemajuan rundingan damai yang dalam kebuntuan,” kata Dr Srisompob Jitpiromsiri, penganalisis konflik di selatan Thailand itu kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut ahli akademik Prince Songkhla University di Patani itu, lawatan berkenaan akan menjadi langkah yang signifikan bagi kedua-dua kerajaan dalam kerjasama mereka menyelesaikan masalah di selatan Thailand,

Srisompob, seorang daripada pengasas badan bukan kerajaan yang memantau konflik itu, the Deep South Watch (DSW), percaya Dr Mahathir dan pengantara rundingan yang baru dilantiknya Tan Sri Abdul Rahim Noor akan mengemukakan usul-usul baharu untuk pertimbangan Bangkok.

Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Polis Negara dan fasilitator baharu Malaysia pada rundingan damai terbabit adalah seorang yang berpengalaman luas dalam proses dialog di selatan Thailand dan dijangka antara anggota delegasi Kuala Lumpur ke Bangkok, katanya.

Abdul Rahim dilantik menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim.

Malaysia yang menjadi pemudah cara proses damai selatan Thailand sejak lewat 2014, mengatur beberapa pusingan rundingan di antara kerajaan Thailand dan MARA Patani.

Thailand juga dalam proses melantik ketua perunding baharu dengan bekas Komander Tentera Wilayah Ke-4 Jen Udomchai Thammasarorath dijangka menggantikan Jen Aksara Kerdphol dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat minggu depan.

Mengulas lanjut, pemerhati itu berkata satu daripada usul baharu yang dipertimbangkan dan mungkin dibentangkan ketika lawatan ialah penyertaan kumpulan atau pihak lain dalam MARA Patani yang jika dilaksanakan akan menjadikan rundingan damai itu lebih inklusif dan substantif.

Antara kumpulan yang berpotensi menyertai MARA Patani ialah sayap tentera Barisan Revolusi Nasional (BRN) serta puak berlainan dalam Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) yang tidak termasuk dalam rundingan damai semasa.

Penyertaan sayap tentera BRN dan PULO dalam MARA Patani, jika benar, akan memberi kesan positif kepada rundingan, kata Srisompob yang menambah kemasukan pihak berkenaan dijangka menjadikan proses rundingan lebih berkesan dan stabil.

Katanya pembabitan sayap tentera BRN akan memberi kesan besar kepada rundingan memandangkan kumpulan ini yang bergerak secara senyap namun lengkap bersenjata serta berpengaruh di selatan Thailand dipersalahkan dalam kebanyakan keganasan yang berlaku jauh di selatan.

Malah, ketiadaan mereka dalam rundingan yang diketuai MARA Patani itu dikatakan antara faktor utama kelembapan perkembangan rundingan sebelum akhirnya menemui jalan buntu, khususnya berhubung pelaksanaan zon selamat.

Pembabitan kedua-dua pihak ini akan mendorong rundingan memasuki fasa paling penting iaitu membincangkan isu teras konflik – tuntutan autonomi bagi wilayah selatan Thai.

“Isu autonomi selatan Thai atau desentralisasi yang dituntut oleh kumpulan terbabit mungkin sukar bagi pihak Thai untuk (dibincangkan). Ia mungkin pahit untuk ditelan oleh pihak Thai namun tidak dapat dielakkan (bagi kedua-dua pihak untuk membincangkannya),” kata Srisompob.

DSW sebelum ini melaporkan 6,500 hingga 7,000 nyawa terkorban akibat konflik bersenjata di selatan Thai sejak 2004. - BERNAMA

Berita Harian X