Sabtu, 13 Oktober 2018 | 5:07pm
PENGUSAHA restoran tidak mempunyai kuasa untuk menegur pelanggan yang merokok di premis mereka. - Foto hiasan
PENGUSAHA restoran tidak mempunyai kuasa untuk menegur pelanggan yang merokok di premis mereka. - Foto hiasan

'Kami tiada kuasa tegur perokok'

KUALA LUMPUR: Pengusaha restoran tidak mempunyai kuasa untuk menegur pelanggan yang merokok di premis mereka.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Ayoob Khan Muhamad Yakub, berkata perbuatan itu adalah rutin ‘normal’ dan sudah tentu pemilik atau pekerja restoran sukar untuk menghalang pelanggan daripada berbuat demikian.

“Susah hendak tegur mereka dan kebanyakan pelanggan nampak papan tanda larangan merokok di lokasi awam tetapi tidak ramai yang mematuhinya.

“Kita setuju dengan tindakan kerajaan, namun mekanisme penguatkuasaan wajar diperkasakan bagi memastikan larangan yang dikeluarkan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua premis makanan antaranya restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air).

Tindakan turut akan diambil terhadap perokok dan pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Sambil menegaskan perniagaan diyakini tidak terjejas ekoran larangan terbabit, beliau berkata, tindakan dan hukuman yang bakal dikenakan perlu diperhalusi supaya dapat mendidik sekali gus menginsafkan perokok terbabit.

“Tidak adil sekiranya pengusaha restoran dikenakan denda disebabkan oleh kesalahan perokok.

“Kita faham, kementerian tidak akan berkompromi kerana ia membabitkan aspek kesihatan rakyat di negara ini namun tidak wajar sekiranya kami pula yang menjadi mangsa denda akibat kecuaian pelanggan.

“Justeru, peraturan ketat dan hukuman berat dijangka dapat menakutkan sekali gus mencegah perokok daripada melanggar undang-undang,” katanya.

Berita Harian X