Jumaat, 5 Oktober 2018 | 11:37pm
Wartawan Media Prima dari kiri, Wan Eizzul Islam (NTV7), Nur Farah Nabilah (NTV7) Osman Lisut (BH) dan Aziezul Abu Bakar (NST) bersama hadiah masing-masing pada Majlis Anugerah Media Kesihatan 2018 di Hotel Eastin. - Foto Rosdan Wahid
Wartawan Media Prima dari kiri, Wan Eizzul Islam (NTV7), Nur Farah Nabilah (NTV7) Osman Lisut (BH) dan Aziezul Abu Bakar (NST) bersama hadiah masing-masing pada Majlis Anugerah Media Kesihatan 2018 di Hotel Eastin. - Foto Rosdan Wahid

Media Prima rangkul anugerah Media Kesihatan

PETALING JAYA : Wartawan BH memenangi Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik 2018 (Akhbar Bahasa Melayu) menerusi rencana bertajuk Madu Diabetes.

Menerusi kemenangan itu, wartawan Osman Lisut, Rashiqah Ilmi Abdul Rahim dan Mohd Zulkifli Zainuddin membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan pada malam Anugerah Media Kesihatan di sini hari ini.

Bagi Anugerah Media Kesihatan TV, NTV7 menerusi kategori Bahasa Inggeris dimenangi Wan Eizzul Islam Wan Zulkifli dan Alvin Lai Yee Weng (Kategori Bahasa Cina). Mereka membawa pulang RM3,000.

Manakala saguhati bagi kategori TV, wartawan NTV7, diraih Nur Farah Nabilah Mohamad Wazer (Bahasa Inggeris) dan Azlina Aris (Bahasa Cina) yang masing-masing membawa pulang RM1,000.

Penerima Anugerah Wartawan Media Cetak Osman Lisut (BH) (kiri) dan Anugerah Infografik Kesihatan Terbaik, Aziezul Abu Bakar (NST) bersama hadiah yang diterima pada Majlis Anugerah Media Kesihatan 2018 di Hotel Eastin. - Foto Rosdan Wahid
Penerima Anugerah Wartawan Media Cetak Osman Lisut (BH) (kiri) dan Anugerah Infografik Kesihatan Terbaik, Aziezul Abu Bakar (NST) bersama hadiah yang diterima pada Majlis Anugerah Media Kesihatan 2018 di Hotel Eastin. - Foto Rosdan Wahid

Kategori Infografik dimenangi Aziezul Abu Bakar dari New Straits Times yang membawa pulang RM2,000.

Wartawan NST, Tharanya Arumugam turut memenangi hadiah sagu hati bagi artikel berjudul Campaigns Having Impact On The Young yang membawa pulang wang tunai RM500.

Media Penyiaran Televisyen dimenangi IrinPutir Azmi bertajuk Hari Raya Tanpa Tembakau dengan membawa hadiah saguhati bernilai RM750.

Hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Majlis dirasmikan, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Tahun ini, sebanyak 265 penyertaan diterima daripada pelbagai media cetak, elektronik dan media sosial yang membabitkan 20 kategori.

Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam ucapan perasmian, berkata media memainkan peranan penting membantu maklumat tepat kepada orang ramai berkaitan isu kesihatan.

“Majlis ini adalah sebagai tanda terima kasih kementerian kepada pihak media yang selama ini memberi sokongan padu dan tanpa jemu terutamanya terhadap program dan permasalahan kesihatan.

“Menyampaikan maklumat melalui media masa untuk memberi penjelasan yang betul dan tepat agar rakyat dapat memahami apa jua masalah yang mungkin timbul adalah cabaran masa kini.

“Namun, kupasan yang relevan dan konsisten sepanjang tahun oleh rakan media terhadap usaha kementerian dalam memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan yang terbaik amatlah dihargai,” katanya.

Berita Harian X