Khamis, 4 Oktober 2018 | 2:03pm

Media Prima lancar Tabung Bantuan Bencana Palu

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) hari ini melancarkan Tabung Bantuan Bencana Palu sebagai usaha mengumpul sumbangan bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia, Jumaat lalu.

Media Prima menerusi satu kenyataan hari ini berkata, tabung itu bagi mengumpul derma kilat daripada orang ramai untuk membiayai misi kemanusiaan yang akan dijalankan oleh Mercy Malaysia.

Katanya, gempa bumi bermagnitud 7.5 serta disusuli tsunami mengakibatkan kemusnahan besar di Palu seterusnya menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, tidak mempunyai bekalan makanan dan memerlukan rawatan akibat cedera.

“Susulan tragedi itu, penduduk di kawasan berkenaan memerlukan pelbagai bantuan makanan dan perubatan dengan kadar segera.

“Penubuhan tabung itu membolehkan Mercy Malaysia menjalankan misi kemanusiaan di Palu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, setiap sumbangan sama ada besar atau kecil, cukup bermakna dan akan digunakan bagi membeli makanan serta ubat-ubatan selain bagi tujuan pemulihan komuniti di sana.

Setiap sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Maybank 5621 7950 4126 di atas nama Mercy Humanitarian Fund atau melalui akaun CIMB 8000 7929 08 diatas nama Mercy Malaysia akan dikecualikan daripada sebarang cukai.

Maklumat lanjut mengenai tabung berkenaan boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.mercy.org.my.

Berita Harian X