X
Selasa, 25 September 2018 | 11:22pm
PERDANA Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha.
PERDANA Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha.

PM dijangka lawat Thailand bulan depan

BANGKOK: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad akan melawat Thailand pada hujung bulan hadapan, demikian diumumkan rakan sejawatannya Jen Prayut Chan-o-cha hari ini.

Lawatan itu memberi peluang kepada dua jiran itu untuk membincangkan selanjutnya isu-isu berkaitan rundingan damai Thai selatan, ketika Kuala Lumpur menjadi fasilitatornya.

“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa rundingan (damai) ini masih diteruskan. Perdana Menteri baharu Malaysia juga mahukan misi Malaysia selaku fasilitator mencapai kejayaan sebanyak mungkin,” kata Prayut kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan di sini.

Dr Mahathir katanya, pada mulanya dijadual melawat Thailand awal Oktober tetapi terpaksa menjadualkan semula lawatan itu berikutan jadual kerjanya yang padat.

Prayut turut ditanya sama ada kerajaannya akan menukar anggota delegasi ke rundingan damai itu sejajar dengan pelantikan fasilitator baharu oleh kerajaan Malaysia.

Prayut berkata kerajaannya sedang mempertimbang soal melantik fasilitator baharu.

Malaysia di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) melantik bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu menggantikan Datuk Ahmad Zamzamin Hashim.

Ahmad Zamzamin dilantik ke jawatan itu di bawah kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN).

Dengan Malaysia sebagai fasilitator, delegasi dari kerajaan Thai dan MARA Patani (Majlis Syura Pattani), yang mewakili beberapa kumpulan di wilayah itu telah mengadakan rundingan beberapa kali di Kuala Lumpur.

Pertikaian bersenjata di selatan Thai sejak 2004 telah mengorbankan lebih 6,500 nyawa, menurut organisasi bukan kerajaan Deep South Watch (DSW) yang memantau pertikaian itu.

– BERNAMA

Berita Harian X