Sabtu, 15 September 2018 | 4:09pm
PENAUNG Persatuan Pencinta Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun
PENAUNG Persatuan Pencinta Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

Modul kebajikan haiwan wajar diperkenal di sekolah

GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan disaran memperkenal modul kebajikan haiwan dalam silibus pendidikan bagi memupuk sikap prihatin dalam kalangan pelajar.

Penaung Persatuan Pencinta Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia antara lain mampu menjadi platform bagi mengelak aktiviti eksploitasi haiwan daripada terus menular dalam masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pendidikan boleh menjalin kerjasama dengan Jabatan Vaterinar serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memberi pendedahan kepada golongan pelajar.

"Proses memberi pendedahan untuk bersikap prihatin kepada haiwan perlu dipupuk sejak di sekolah dan ia memerlukan sebuah modul yang efisien bagi menjayakannya. Ia tidak mampu direalisasikan sekiranya masyarakat masih kurang

"Ini kerana, proses berkenaan akan mengambil masa dan amat penting untuk kita melahirkan generasi prihatin kepada kebajikan haiwan, sekali gus mengurangkan bilangan kes eksploitasi," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian penganiayaan seekor kucing betina bunting yang dimasukkan dalam mesin pengering di kedai dobi layan diri, dekat Taman Gombak Ria, Selasa lalu.

Ekoran kejadian itu, dua daripada tiga lelaki yang diburu polis kerana membunuh kucing terbabit akhirnya ditahan, semalam, selepas gambar mereka didedahkan pihak polis yang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Bangkai kucing berkenaan ditemui seorang pelanggan pada jam 10.30 pagi ketika ingin menggunakan mesin pengering berkenaan sebelum sebuah pertubuhan membela haiwan bertindak melaporkan kejadian kepada polis.

Perlakuan kejam serta tidak bertamadun mereka dirakam CCTV premis berkenaan serta tular di media sosial mendapat kecaman masyarakat di negara ini.

Berita Harian X