Jumaat, 14 September 2018 | 8:30pm
PETIKAN kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook Selangor Royal Office.
PETIKAN kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook Selangor Royal Office.

Tengku Permaisuri Selangor dukacita kucing dizalimi

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas penganiayaan secara kejam terhadap seekor kucing di Gombak, Selasa lalu.

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen ‘Stray Free Selangor’ (SFS) secara rasmi menghantar surat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar meminta mereka mengenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku yang terbukti bersalah supaya perbuatan seumpamanya tidak berulang lagi.

Dalam satu kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook Selangor Royal Office dan Instagram Selangor Royal Official hari ini, baginda terkejut dan sedih dengan perbuatan menzalimi haiwan yang kian berleluasa.

“Sifat kemanusiaan seolah-olah sudah hilang dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sedang sarat mengandung," titah baginda.

Baginda bertitah masyarakat harus peka kerana haiwan juga ada hak dan dilindungi di bawah undang-undang dan tidak seharusnya berlaku penderaan dan penganiayaan sewenang-wenangnya terhadap haiwan khususnya haiwan peliharaan.

Kenyataan itu menyebut mana-mana pihak yang membunuh, meracun atau mencederakan binatang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Selasa lalu, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, dua lelaki didapati melakukan kezaliman dengan membunuh seekor kucing terbiar yang sedang bunting dengan meletakkan dalam mesin pengering pakaian sedang berputar.

Perbuatan kejam dua lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya dirakam oleh CCTV premis berkenaan dan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof hari ini berkata dua daripada tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes itu ditahan di dua lokasi di Gombak awal pagi ini.

Katanya kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 26 dan 40 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat awam dan direman empat hari bermula hari ini.

Berita Harian X