Jumaat, 7 September 2018 | 6:38pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Muhammad Sulaiman
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Muhammad Sulaiman

Kebersihan ruang permainan tertutup elak HFMD

PUTRAJAYA: Ruang permainan tertutup boleh menjadi punca penularan penyakit berjangkit termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sekiranya aspek kebersihan diabaikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata justeru pengusaha ruang permainan tertutup perlu memberi penekanan terhadap lima perkara utama termasuk meletakkan papan tanda mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk menjaga kebersihan kawasan permainan itu.

Selain itu, beliau berkata, pihak berkenaan juga perlu menyediakan cairan pembersih tangan di pintu masuk kawasan permainan dan memastikan kanak-kanak menggunakannya sebelum masuk dan keluar dari taman permainan itu.

“Pengusaha juga perlu membuat saringan gejala HFMD di pintu masuk kawasan permainan dan membenarkan kanak-kanak yang sihat saja masuk; memastikan kebersihan sentiasa dijaga selain menjalankan nyah kuman peralatan mainan setiap hari.

“Diharapkan langkah pencegahan yang diamalkan oleh semua pihak dapat menyekat penularan HFMD ini daripada merebak, seterusnya menyumbang kepada penurunan kes penyakit berjangkit itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, memandangkan bulan ini terdapat beberapa cuti panjang pada hujung minggu, dijangka orang ramai akan mengunjungi tempat awam termasuk taman permainan.

“Justeru itu, ibu bapa diminta memastikan semua ahli keluarga khususnya anak kecil sentiasa dalam keadaan sihat dan mengamalkan kebersihan diri yang betul.

“Sekiranya anak didapati tidak sihat dan mempunyai gejala HFMD, mereka hendaklah dibawa segera ke klinik untuk menerima rawatan dan elakkan menghantar ke sekolah atau membawa ke tempat awam yang sesak termasuk kawasan permainan,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kes HFMD dari 1 Januari sehingga 6 September lalu adalah 58,693 kes dan ia adalah lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun lalu dengan semua negeri menunjukkan pertambahan kes.

Katanya, tiada kes kematian HFMD yang baharu dilaporkan dan kematian disebabkan HFMD dan jangkitan Enterovirus 7 (EV71) kekal dua kes, iaitu masing-masing satu di Sarawak dan Pulau Pinang.

Berita Harian X