Rabu, 5 September 2018 | 1:26pm
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi memberi tabik hormat kepada Perbarisan Perintah Ulung PTD ke 27 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto BERNAMA

TD jangka terima MD 530G tahun depan

KUALA LUMPUR: Tentera Darat (TD) dijangka akan memperoleh enam helikopter tempur ringan model MD 530G secara berperingkat mulai tahun hadapan.

Panglima TD, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, berkata pihaknya akan melakukan beberapa ujian terlebih dahulu sebelum helikopter buatan McDonnell Douglas berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu dibawa pulang.

“Ikut perancangan awalnya pada tahun hadapan, namun ada beberapa konfigurasi yang perlu dibuat dan perlu juga dibuat ujian terlebih dulu.

“Jika kita nak bawa balik dan buat ujian di sini... mahal, maka kita akan buat ujian di sana (AS) dan daripada segi perancangan dan masa yang diberi itu, memang kita berpuashati,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Perintah Ulung Panglima TD ke-27 di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Katanya, TD tidak akan memaksa kerajaan untuk memperoleh aset berkenaan dalam masa singkat kerana aset yang TD miliki kini masih memadai.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (hadapan,tengah) pada Perbarisan Perintah Ulung PTD ke 27 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto BERNAMA

“Kita tidak mahu paksa kerana jika kita paksa, ia akan jadi lain.

“Tanpa aset itu lagi (helikopter), kita masih boleh lagi melaksanakan tugas kita,” katanya.

Dalam pada itu, katanya beliau bertekad untuk melaksanakan amanat Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dalam memperkukuhkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui empat tonggak utama yang disebut dalam perintah ulungnya, Julai lalu.

“Saya akan mengambil beberapa pendekatan dalam memenuhi matlamat empat tonggak itu dengan mengambil kira keadaan semasa dan cabarannya.

“Justeru, saya merangkumkan pendekatan itu kepada empat perkara iaitu asas, sistem pemerintahan regimental, adaptasi dan siap siaga atau akronimnya, ASAS,” katanya.

Empat tonggak utama yang disebut Zulkifli itu adalah angkatan yang profesional, ketumbukan yang siap siaga, keutuhan organisasi dan memperkasakan kualiti hidup.

Berita Harian X