Isnin, 3 September 2018 | 4:02pm
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman dengan ahli dewan undangan negeri selepas Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Ke Empat Belas Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor. Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman dengan ahli dewan undangan negeri selepas Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Ke Empat Belas Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor. Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. - Foto Roslin Mat Tahir

Sultan Selangor gembira penstrukturan semula industri air dimuktamadkan

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan dengan kejayaan pengambilalihan syarikat konsesi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Pengambilalihan melalui kerajaan negeri dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)seterusnya untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda difahamkan dengan berakhirnya rundingan pengambilalihan SPLASH pada 3 Ogos lalu, kerajaan Selangor melalui Air Selangor mengemukakan surat tawaran pengambilalihan itu kepada wakil pemegang saham SPLASH dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM2.55 bilion, selepas ditolak diskaun sebanyak 28 peratus penilaian semasa SPLASH pada 30 Jun 2018.

“Pengambilalihan yang tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan dari dana kerajaan Selangor ini distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.

“Beta berkenan apabila Air Selangor dapat beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah sekali gus dapat memastikan kadar tarif air yang tidak membebankan rakyat di negeri beta ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang DUN Selangor ke-14 hari ini.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menghadiri Istiadat Pembukaan DUN Selangor ke-14 itu.

“Penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor akan akhirnya dimuktamadkan apabila Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal yang memproses, merawat dan mengagihkan air terawat kepada seluruh pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” titah baginda.

Sementara Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda dimaklumkan bahawa pertumbuhan ekonomi Selangor dilihat terus kukuh pada kadar 7.1 peratus pada 2017 berbanding 4.8 peratuspada 2016.

Titah baginda, Selangor turut merekodkan prestasi melebihi paras nasional iaitu pada kadar 5.9 peratus dan baginda bangga Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2017 iaitu sebanyak 23 peratus.

“Dengan peningkatan KDNK ini, beta percaya Selangor menjadi tumpuan utama pelabur domestik dan asing untuk terus melabur di Selangor. Bagi tempoh Januari sehingga Mac 2018, negeri beta mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM812,649,654, sebanyak 35 projek perkilangan diluluskan, iaitu 53 peratus adalah pelaburan tempatan, manakala 47 peratus daripadanya adalah pelaburan asing.

“Beta berkenan apabila Selangor menjadi pilihan pelabur bagi 2017 dari Jepun dengan catatan jumlah nilai pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM533 juta. Ia diikuti oleh pelabur dari Singapura sebanyak RM439 juta dan China sebanyak RM282 juta.

“Statistik ini membuktikan pelabur selesa dan yakin dengan dasar pentadbiran negeri untuk mereka terus melabur dan membuat penambahan pelaburan di Selangor,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan yang bekerja keras bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjalan lancar dan aman.

Berita Harian X