Ahad, 19 Ogos 2018 | 10:44pm
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli , Dr Xavier Jayakumar. - Foto Asyraf Hamzah
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli , Dr Xavier Jayakumar. - Foto Asyraf Hamzah

Kerajaan sokong projek terowong air Perak - P Pinang

BATU GAJAH: Kerajaan persekutuan bersedia menyediakan peruntukan bagi membina terowong air dalam usaha Perak menjual air terawat kepada Pulau Pinang, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, pelan bagi rancangan penjualan air itu sudah tersedia dan satu mesyuarat antara kerajaan Perak dan Pulau Pinang akan diadakan bagi membincangkan perkara itu.

“Jika hasrat itu terlaksana, satu terowong (bagi laluan air ) akan dibina dari Perak ke Pulau Pinang, namun ia memerlukan sedikit masa dan kerajaan persekutuan akan memberi peruntukan untuk projek itu,” katanya selepas majlis ramah mesra bersempena pencalonannya sebagai naib presiden PKR, di sini, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menyatakan cadangan kerajaan negeri untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang dan Selangor.

Mengenai cadangan penjualan air Perak kepada Selangor, Xavier berkata, perkara itu belum dibuat secara rasmi memandangkan kerajaan pusat mahu memberi keutamaan kepada Projek Langat 2.

“Projek Langat 2 mempunyai dua fasa, fasa satu akan dilaksana sebelum 2023 dan sekarang perundingan antara Selangor dan pusat untuk memulakan fasa dua,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X