Khamis, 16 Ogos 2018 | 4:53pm

3,502 kes HFMD dicatat sekolah seluruh negara

KUALA LUMPUR: Sejumlah 3, 502 kes wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan pelajar terdiri daripada 1,288 buah sekolah dilaporkan sehingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata sehingga kini, sebanyak 277 kelas dan lima sekolah sudah diarah tutup bagi mengawal jangkitan wabak itu.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi sekolah rendah, menengah dan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sahaja, tidak termasuk sekolah swasta.

Katanya, berikutan bilangan kes HFMD yang semakin meningkat di negara ini, pihak KPM bekerjasama dengan agensi lain dalam membanteras serta memastikan sekolah bebas HFMD.

"Antara langkah yang diambil termasuklah melakukan penapisan di pintu masuk sekolah bagi memastikan pelajar yang bebas HFMD sahaja dibenarkan masuk ke sekolah, selain mengkuarantin mereka yang disyaki mempunyai HFMD.

"Penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran yang mana ia mudah berlaku di tempat sesak serta mutu kebersihan yang rendah," katanya ketika melancarkan Kempen HFMD di Sekolah 2018, di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail 2, di sini, hari ini.

Selain itu, ibu bapa perlu membawa anak-anak mereka mendapatkan rawatan segera sekiranya mengesan tanda-tanda awal gejala HFMD dan tidak membawa anak-anak ke tempat awam, termasuk sekolah.

Berita Harian X