Selasa, 14 Ogos 2018 | 5:11pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Luqman Hakim Zubir
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Luqman Hakim Zubir

Bahasa Melayu untuk urusan rasmi kerajaan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan penggunaan bahasa Melayu tetap diutamakan dalam semua urusan rasmi negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, penterjemahan ke bahasa lain perlu dilakukan dalam keadaan tertentu, termasuk ke bahasa Inggeris bagi tujuan penjelasan.

“Perlembagaan kita memenuhi segala kehendak berkenaan perlindungan bahasa kebangsaan, tetapi ada kalanya terjemahan dibuat dalam bahasa lain.

“Namun demikian, bahasa rasmi adalah bahasa Melayu kerana terjemahan bukan bahasa rasmi.

“Kalau tidak betul (terjemahan) itu adalah hal dia dan yang betul boleh dibawa ke mahkamah adalah ditulis dalam bahasa Melayu,” katanya dalam sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-UMNO Lenggong) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan berhubung laporan menyatakan beberapa kementerian menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil dalam urusan rasmi.

Dr Mahathir turut mempertahankan tindakan beberapa menteri tidak menggunakan bahasa Melayu dalam sesetengah majlis rasmi kerana ada tetamu dalam kalangan warga asing di majlis berkenaan.

“Kadang-kadang ada orang yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa lain untuk menjelaskan sesuatu yang tidak difahami.

“Ini khususnya orang asing yang tidak fasih bahasa Melayu, sebab itu ada menteri menggunakan bahasa Inggeris atau Tamil atau Mandarin untuk memberi penjelasan namun itu adalah tidak rasmi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr R Santhara Kumar (PH-PKR Segamat) mengenai surat rasmi kerajaan kepada negara luar yang ditulis dalam bahasa ibunda negara berkenaan, Dr Mahathir berkata, hubungan antarabangsa lebih mementingkan maksud surat itu difahami oleh penerima.

“Apa yang rasmi adalah bahasa Melayu, jadi kita hantarkan dalam bahasa Melayu bersama terjemahannya dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Berita Harian X