Jumaat, 10 Ogos 2018 | 7:03pm
MENTERI Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berucap merasmikan majlis mesyuarat ‘town hall’ bagi mempromosikan langkah pencegahan penyakit HFMD di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berucap merasmikan majlis mesyuarat ‘town hall’ bagi mempromosikan langkah pencegahan penyakit HFMD di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

47,880 kes HFMD seluruh negara

PUTRAJAYA: Sejumlah 47,880 kes wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara sejak 1 Januari hingga semalam.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata hampir 90 peratus kes yang dilaporkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah.

Beliau berkata, bagi tahun ini, kebanyakan negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding tahun lalu dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 13,901 kes.

“Kumulatif semasa kes HFMD untuk dua hari kebelakangan ini pula menunjukkan trend menurun dan sebanyak 710 kes dilaporkan di seluruh negara semalam.

“Sehingga kini, sebanyak 701 premis termasuk sekolah, taska dan prasekolah ditutup akibat wabak berkenaan, namun ada antaranya sudah dibuka secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis mesyuarat ‘town hall’ bagi mempromosikan langkah pencegahan penyakit HFMD di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya ketika ini giat menjalankan mesyuarat ‘town hall’ bagi mempromosikan amalan utama sebagai langkah pencegahan HFMD.

“Sejak dilancarkan pada 29 Julai lalu, sebanyak 633 mesyuarat ‘town hall’ dijalankan membabitkan guru dan pengusaha 6,714 taska, tadika, tabika dan prasekolah.

“Kejayaan melaksanakan mesyuarat ini juga menunjukkan komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam menangani wabak penyakit berkenaan daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berkata, selain mesyuarat berkenaan, pihaknya turut menjalankan promosi dan pendidikan kesihatan berkaitan HFMD kepada orang ramai sejak awal tahun ini.

“Sehingga Rabu lalu, sebanyak 116,288 komunikasi bersemuka melalui sesi taklimat dan tunjuk cara sudah dijalankan selain edaran 115,029 risalah dan poster,” katanya.

Berita Harian X