Isnin, 6 Ogos 2018 | 8:09pm

Duduk bangun kerana 1MDB

KUALA LUMPUR: Isu siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menyaksikan beberapa Ahli Parlimen silih berganti duduk dan bangun pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang menggulung perbahasan titah diraja, memberi laluan kepada RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) untuk mencelah dan peluang itu digunakan untuk membangkitkan isu 1MDB.

Antara lain, Rayer menegaskan wang dan barang kemas yang dirampas dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah wang milik rakyat yang diselewengkan.

Kenyataan itu pantas dibantah Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-UMNO Beluran) yang menegaskan isu berkenaan termasuk dalam perintah tegahan sementara seperti ketetapan Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Khamis lalu.

Ronald kemudian mempersoalkan sama ada isu berhubung penambahbaikan bangunan dan jawatankuasa Parlimen akan dijawab oleh Vui Keong, lalu dijawab oleh menteri berkenaan ia akan dihantar secara bertulis.

Vui Keong juga enggan mengulas isu 1MDB atas alasan ia masih dalam siasatan.

Suasana terus riuh apabila Tan Sri Noh Omar (BN-UMNO Tanjung Karang) bangun mempersoalkan mengapa pelbagai kesimpulan sudah dibuat mengenai 1MDB sedangkan kes belum dimuktamadkan.

Vui Keong berkata, kerajaan tidak boleh menghalang masyarakat membuat andaian berhubung isu terbabit.

Jawapannya itu menyebabkan beberapa ahli pembangkang bangun serentak kerana tidak berpuas hati, termasuk Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam) yang menegaskan tiada satu jawapan pun diperoleh daripada menteri setakat ini.

“Apa yang kita bincangkan separuh masa ini memang memperkasakan Parlimen tetapi satu jawapan pun kita tak dapat daripada menteri.

“Tolonglah, jika anda hormat Parlimen sebagai institusi, pertimbangkan cadangan dan akta yang dihapuskan,” katanya.

Berita Harian X