Ahad, 5 Ogos 2018 | 9:00pm
MENTERI kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Mikail Ong
MENTERI kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Mikail Ong

Kes baharu jangkitan HFMD menurun sepanjang minggu lalu

GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan merekodkan penurunan kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara, sepanjang minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sebanyak 770 kes jangkitan baharu dilaporkan kelmarin, menurun 19.1 peratus berbanding 952 kes pada Khamis lalu.

"Setakat ini, ia semakin menurun dan kita berdoa supaya terus berkurangan. Kita akan melihat kira-kira 10 hari lagi sebelum mengesahkan penyakit HFMD benar-benar menurun.

"Tidak ada kes kematian baharu dilaporkan, setakat ini. Sejak Januari lalu, sebanyak 631 premis ditutup kerana HFMD.

"Jumaat lalu, hanya 52 premis masih ditutup membabitkan 17 pusat jagaan, 25 prasekolah dan beberapa kelas di 10 sekolah seluruh negara," katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, hari ini.

Bagi mencegah penularan HFMD, Dzulkefly berkata, kementerian sudah menganjurkan 406 Mesyuarat Dewan Bandaran membabitkan 13,699 guru, termasuk pada peringkat prasekolah, antara 29 Julai hingga semalam.

"Pada mesyuarat itu, kami memaklum, menunjuk dan menyerahkan bahan pendidikan kesihatan bagi menerangkan bahaya HFMD serta cara merawat penyakit ini," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang bayi serta kanak-kanak lelaki masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak meninggal dunia akibat HFMD.

Di Pulau Pinang, seorang bayi lelaki berumur 17 bulan meninggal dunia pada 6 Jun lalu selepas tiga hari dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas.

Pada 28 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun meninggal dunia di Hospital Sibu akibat jangkitan penyakit sama.

Berita Harian X