Rabu, 1 Ogos 2018 | 1:22pm
DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Zain Ahmed
DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Zain Ahmed

'Iktiraf UEC bercanggah aspirasi pendidikan negara'

JOHOR BAHRU: Tindakan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan secara langsung dan jelas memberi mesej moral yang menggambarkan sistem pendidikan negara amat teruk, tidak baik serta gagal, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berpendirian ia tidak wajar dan sangat bercanggah dengan aspirasi pendidikan negara, selain akan menjadi antara punca menggagalkan usaha berterusan kerajaan untuk menyuburkan perpaduan serta rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UEC menggunakan sepenuhnya sukatan dan pengisian dicedok dari Taiwan tanpa saringan, kawalan serta pemantauan Kementerian Pendidikan negara ini.

"Malah, pakar pendidikan dan kerajaan Malaysia tidak langsung terbabit atau dirujuk dalam penyediaan sukatannya. Kandungan, sukatan dan objektif disasarkan sistem peperiksaan ini bukan berasaskan Falsafah Pendidikan Negara yang kita guna pakai selama ini.

"Ia akan menyebabkan wujud sistem terpisah-pisah dan berbeza antara satu sama lain, sekali gus sistem pendidikan negara tidak dapat diseragam serta disepadukan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, ia secara tidak langsung merendah-rendahkan bahasa kebangsaan, di samping membuka ruang dan jalan yang menyebabkan isu pendidikan dipolitikkan.

Sekalipun tanpa UEC, beliau berkata, kepentingan bahasa Mandarin di sekolah aliran Cina bawah sistem pendidikan negara memang sudah dan sentiasa diiktiraf.

Katanya, adalah lebih baik untuk kerajaan, terutama Kementerian Pendidikan berusaha memperkukuh dan memperkemaskan sistem pendidikan sekolah aliran Cina tempatan, berbanding mengambil sistem luar yang sentiasa menimbulkan kontroversi.

"UEC adalah sijil Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dikelolakan oleh Dong Zong dan Jiao Zong, serta tidak menggunakan sukatan pelajaran negara dan bukan sebahagian daripada entiti sistem pendidikan Malaysia yang diiktiraf.

"Susulan itu, sebarang cubaan mengiktiraf sistem dan sukatan peperiksaan ini sering menimbulkan kontroversi berulang-ulang. Tidak hairanlah tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mengiktirafnya, menimbulkan penentangan dan pertikaian besar dalam kalangan rakyat, termasuk pakar pendidikan serta tokoh masyarakat, malah sebahagian ibu bapa serta komuniti Cina tempatan sendiri.

"Bagi sesetengah pihak, desakan untuk kerajaan menerima dan mengiktiraf UEC sekadar lanjutan usaha beralih keluar secara perlahan-lahan daripada sistem pendidikan sedia ada yang lebih bersepadu serta seragam," katanya.

Mohamed Khaled berkata, rakyat mesti bekerjasama memperbaiki dan memperkukuh sistem pendidikan negara, justeru mencari alternatif luar tidak selari aspirasi tempatan bukan jalan baik ataupun mampu menyelesaikan kekurangan sedia ada.

"Saya sangat berharap kerajaan PH bertegas dalam perkara ini dan berusaha mengambil jalan terbaik bagi memastikan sistem pendidikan kita diiktiraf serta diyakini semua pihak," katanya.

Berita Harian X