Selasa, 31 Julai 2018 | 10:33pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika hadir di Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke 14 di Bangunan Parlimen. - Foto Zunnur Al Shafiq
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika hadir di Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke 14 di Bangunan Parlimen. - Foto Zunnur Al Shafiq

Jawatankuasa kajian UEC ditubuh

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan mewujudkan jawatankuasa bagi mengkaji dan mengumpul fakta berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara menyeluruh.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata jawatankuasa itu akan dianggotai pakar pendidikan tempatan.

"Saya akan membawa perkara penubuhan jawatankuasa ini kepada jemaah menteri.

"Isu berkaitan UEC perlu dilihat secara holistik dengan mengambil kira setiap rakyat berhak dan perlu diberi peluang untuk bersuara," katanya pada sesi penggulungan titah Diraja bagi pihak kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam) berhubung pelaksanaan UEC yang disifatkan tidak wajar kerana bertentangan dengan sistem pendidikan kebangsaan.

Maszlee berkata, kementerian tidak akan terburu-buru mengenai pengiktirafan UEC, sebaliknya berusaha mendapatkan pandangan pelbagai pihak.

"Kita melihat isu ini secara teliti kerana ia terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-UMNO Padang Terap) ketika mencelah berkata, tidak semua manifesto PH perlu dilaksanakan tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat majoriti.

Mahdzir turut memetik petikan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang Dewan Rakyat bahawa manifesto bukan sebuah kitab suci.

"Manifesto bukan kitab suci. Bukan semua boleh dilaksana di bawah manifesto," katanya.

Berita Harian X