Jumaat, 27 Julai 2018 | 12:43pm
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Semak kurikulum UEC sebelum iktiraf - DBP

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meminta Kementerian Pendidikan menyemak kurikulum Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), terutama subjek teras seperti Bahasa Melayu serta Sejarah, sebelum mengiktirafnya.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Mohamad Hatta Shaharom, berkata semakan silibus mata pelajaran terbabit harus menjadi sebahagian daripada langkah kajian menyeluruh dan holistik dilakukan kementerian itu berhubung isu berkenaan.

"Semakan itu bagi memastikan sukatan pelajaran Bahasa Melayu UEC sama taraf dengan yang diajar di sekolah kerajaan.

"Jika standardnya sama, maka ia amat positif. Namun jika sebaliknya, ia hanya akan menjadi perdebatan berterusan," katanya pada sidang media khas di DBP, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, UEC perlu memberi penekanan terhadap Sejarah kerana subjek berkenaan memberi asas pemahaman mengenai sejarah negara dan pembinaan jati diri.

Media sebelum ini melaporkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria tidak bersetuju UEC diiktiraf kerana ia hanya akan merosakkan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Kerajaan Kelantan turut menolak pengiktirafan UEC sebagai kelayakan menyertai perkhidmatan awam di negeri itu, demi mengekalkan kedaulatan bahasa dan bangsa Melayu.

UEC dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina yang sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dan tidak selari silibus ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Berita Harian X