Khamis, 26 Julai 2018 | 4:33pm
MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. - Foto NSTP
MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. - Foto NSTP

UEC: Harussani sedia jumpa MB Perak

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bersedia berjumpa dengan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, berhubung isu cadangan kerajaan negeri memberi pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) khususnya bagi menyertai perkhidmatan awam.

Harussani, bagaimanapun, tetap berpendirian pengiktirafan UEC akan merosakkan Dasar Pendidikan Kebangsaan sedia ada serta memecahkan asas perpaduan kaum yang berpaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam dasar pendidikan berkenaan.

"Jika (Ahmad Faizal) hendak berjumpa, bolehlah, tidak apa, tiada masalah," katanya sambil menjelaskan bersedia bertemu dengan Menteri Besar pada bila-bila masa.

Semalam, Ahmad Faizal, pada sidang media selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri, dilaporkan berkata akan bertemu dengan Harussani bagi menerangkan isu berkenaan dan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai pengiktirafan UEC.

Beliau dipetik sebagai berkata, pengiktirafan UEC sudah diputuskan dan dijanjikan oleh PH ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menyifatkan janji kepada orang ramai itu perlu ditunaikan.

Ahmad Faizal dilaporkan berkata, sijil UEC boleh diiktiraf namun dengan syarat pemegang sijil itu perlu sekurang-kurangnya memiliki kredit Bahasa Melayu.

Harussani dalam kenyataannya pula, berkata Dasar Pendidikan sedia ada sudah terbukti mampu memacu pembangunan negara ke arah kebaikan selaras dengan sistem pendidikan negara yang berasaskan perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa.

Beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan perlu mengambil kira maslahat umum, silibus, dasar, polisi dan akta sedia ada serta pandangan pakar dan tokoh negarawan berkaitan dalam setiap perancangan dasar baharu, bukannya sekadar menerima cadangan dan terus melaksanakannya tanpa melihat kesan dan akibat dasar terbabit.

Katanya, sekiranya UEC diiktiraf, ia akan membuka ruang yang cukup besar kepada kaum-kaum lain untuk turut sama menimbulkan semangat perkauman sekali gus boleh merosakkan suasana harmoni yang sudah sekian lama wujud di negara ini.

Ketika dihubungi hari ini, Harussani berkata walaupun pengiktirafan UEC adalah janji pilihan raya PH, namun ia boleh tidak ditunaikan jika boleh membawa kemudaratan dan merugikan semua pihak dalam negara ini.

"Buat apa nak tunaikan (janji pilihan raya) jika merugikan bahasa kebangsaan dan falsafah negara (perpaduan kaum di bawah satu bahasa dan dasar pendidikan negara)," katanya.

Berita Harian X